suria

Kehilangan ADO Tiada Unsur Jenayah

HULU TERENGGANU: Siasatan polis terhadap kes Penolong Pegawai Daerah (ADO) Pejabat Tanah Kuala Terengganu, Wan Hariff Rafany Wan Muda, 35, yang dilaporkan hilang sejak malam hari Jumaat (14 Feb) tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Md Jamil berkata malah penemuan kereta Audi milik mangsa berhampiran Pejabat Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang pagi semalam juga mendapati tiada sebarang kesan mencurigakan.

Justeru, katanya pihak polis juga menafikan kes Wan Hariff Rafany berkait dengan penculikan.

"Polis menerima laporan berkaitan kehilangan individu ini...berkemungkinan dia tidak pulang ke rumah kerana mempunyai urusan di luar. Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi," katanya kepada pemberita di sini Ahad. Menurutnya, mangsa sebelum ini pernah bertugas di Pejabat Tanah Hulu Terengganu.

Terdahulu, Hamzah menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu antara DSP Mohd Ismail Muslim dengan DSP Hussin Deraman Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu yang baru di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu, di Kuala Berang di sini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain