suria

Beri Peluang MCA Di Kajang - Liow

Liow (kiri) melihat peta lokasi pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada pilihan raya yang lepas selepas melancarkan bilik gerakan induk MCA sempena pilihan raya kecil (PRK) di Kajang.
Liow (kiri) melihat peta lokasi pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada pilihan raya yang lepas selepas melancarkan bilik gerakan induk MCA sempena pilihan raya kecil (PRK) di Kajang.

KAJANG: Penduduk Kajang digesa memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) dan MCA untuk berkhidmat kepada mereka dan tidak terus-menerus menjadi bahan permainan pakatan rakyat.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menarik perhatian bahawa masyarakat di kawasan itu dibelenggu pelbagai masalah melibatkan antaranya jalan raya, lesen penjaja dan cukai pintu.

Sehubungan itu, beliau berkata anggota Jawatankuasa Tertinggi MCA dikehendaki datang ke DUN Kajang setiap hari bagi meninjau, memahami serta membantu menyelesaikan isu-isu yang sering dihadapi penduduk, sekali gus mengembalikan keyakinan mereka kepada parti itu.

"Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang merupakan peluang terbaik buat kami untuk buktikan kepada penduduk di sini yang majoritinya kaum Cina bahawa kami sememangnya berjuang demi kebajikan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan bilik gerakan induk MCA untuk PRK itu di Taman Berjaya, di sini pada Ahad.

Liow menegaskan pengundi DUN Kajang perlu memilih wakil rakyat daripada Barisan Nasional bagi membolehkannya menyekat tindakan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat yang menjejaskan penduduk.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan pada 27 Jan lepas bagi memberi ruang kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mac sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian pada 23 Mac.

Menurut Liow, Lee pernah berjanji kepada penduduk Kajang untuk tinggal dan berkhidmat kepada penduduk setempat, namun dengan peletakan jawatan itu, beliau bukan sahaja tidak berkhidmat malah "meninggalkan Kajang buat selama-lamanya".

Turut hadir Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong, Naib-naib Presiden Datuk Chua Tee Yong dan Datin Paduka Chew Mei Fun serta Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain