suria

Lebih 4,000 Mangsa Kini Berada Di 22 Pusat Pemindahan Banjir Di Sabah

Seorang penduduk Matsah Sabtu meletakkan perabot rumahnya yang teruk dilanda banjir ke dalam sampan untuk ditempatkan ke kawasan selamat di Tenom, Sabah pada Sabtu. - fotoBERNAMA
Seorang penduduk Matsah Sabtu meletakkan perabot rumahnya yang teruk dilanda banjir ke dalam sampan untuk ditempatkan ke kawasan selamat di Tenom, Sabah pada Sabtu. - fotoBERNAMA

KOTA KINABALU: Lebih 4,000 mangsa banjir kini ditempatkan di 22 pusat pemindahan banjir di Dearah Beaufort dan Tenom.

Daripada jumlah itu, 2,549 orang daripada 500 keluarga ditempatkan di 17 pusat pemindahan banjir di Tenom manakala 1,963 orang daripada 613 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan di Beaufort.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Tenom ketika dihubungi berkata 29 kampung di daerah berkenaan masih terjejas banjir.

Bagaimanapun, menurut jurucakap berkenaan, empat pusat pemindahan banjir di daerah itu iaitu Rumah Kebudayaan Kg Kalasasan, Rumah Kebudayaan Kampung Sindungon, Rumah Kebudayaan kampung Inubae dan Rumah Kebudayaan Kampung Labut ditutup.

Di Beaufort, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Mohd Sahid Othman berkata jumlah mangsa di daerah berkenaan dijangka bertambah berikutan paras air di kawasan kampung masih meningkat meskipun paras air di Pekan Beaufort menunjukkan sedikit penurunan.

Sementara itu Mohd Sahid berkata 138 orang daripada 40 keluarga yang tinggal di antara Kampung Batu 60 hingga Batu 63 belum dapat dipindahkan kerana keadaan air Sungai Padas yang deras.

Katanya mangsa berkenaan kini berada di kawasan tanah tinggi dan keadaan mereka terus dipantau anggota penyelamat.

"Saya juga memohon kepada semua pihak supaya dapat memberi sumbangan khususnya kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan ini yang memerlukan bantuan seperti selimut, bantal, pakaian dan lain-lain keperluan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah ketika ditemui di sini berkata 15 buah sekolah di Tenom, 19 buah di Beaufort dan dua lagi di Keningau, melibatkan lebih 6,000 pelajar, masih ditutup berikutan banjir di daerah berkenaan.

Katanya semua pegawai daerah juga diarah membuat laporan kepada Jabatan Pendidikan Negeri mengenai sebarang kerosakan yang dialami di sekolah masing-masing yang dilanda banjir termasuk kerosakan buku teks. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain