suria

Isteri Izin Zaid Tanding Di Kajang

Zaid mendapat lampu hijau daripada isterinya untuk bertanding di Kajang.
Zaid mendapat lampu hijau daripada isterinya untuk bertanding di Kajang.

PETALING JAYA: Isteri kepada bekas pemimpin Umno dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim, Datin Suliana Shamsuddin Alias mengizinkan beliau untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Zaid mengumumkan persetujuan isterinya itu menerusi laman sosial Twitter dan Facebook sebaik saja beliau memberitahu tertarik untuk bertanding pada PRK itu.

"Suliana kata setuju tentang Kajang - hadiah sempena Valentine," tulisnya pada Jumaat.

Terdahulu, Zaid menegaskan hasratnya untuk mengambil bahagian dalam PRK itu bergantung kepada persetujuan isterinya.

"Isteri dan anak-anak tidak gembira mengenai kemungkinan saya untuk kembali dalam politik terutamanya apabila serangan peribadi berniat jahat dilancarkan terhadap saya.

"Saya beritahu mereka selagi saya seorang pengulas politik, sukar untuk melarikan diri dari kecaman dan penghinaan. Namun, boleh jadi tiada demokrasi atau kebebasan di negara ini sekiranya setiap individu terus berdiam diri kerana takut dihina," katanya.

Zaid berkata mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil itu akan membolehkan beliau menangani pelbagai isu-isu politik dan ekonomi yang melanda negara.

"Menulis di dalam blog ini amat seronok tetapi bagus juga kalau dapat bercakap terus kepada orang ramai secara bersemuka, mendengar luahan mereka, sudah tentu makan sate bersama mereka.

"Berbual dengan pengundi Kajang turut menguji penerimaan beberapa idea saya, seterusnya ia boleh digunakan sebagai maklum balas kepada pembuat dasar," katanya dalam blognya. (www.zaid.my).

Zaid meninggalkan PKR pada 2011 dan menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita).

Zaid berkata beliau telah menyenaraikan beberapa perkara yang akan disuarakan dalam tempoh berkempen, termasuk kepentingan memerangi punca polarisasi kaum, usaha memulihara keamanan dan perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam serta program ekonomi dan pendidikan bagi membina kemahiran.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain