suria

Komando VAT69 Diserang Dalam Perjalanan Untuk Bantu Rakan

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pasukan komando VAT69 di sektor A di Kampung Tanduo, Lahad Datu diserang penceroboh bersenjata pada 1 Mac lepas ketika dalam perjalanan untuk memberi pertolongan kepada rakan-rakan mereka yang sedang bertempur di sektor masing-masing.

Inspektor Sahar Omar, yang mengetuai tiga patrol di sektor A ketika menjalankan operasi tinjau rapat di kampung tersebut, berkata beliau dan pasukannya diarahkan oleh ketua sektor tersebut DSP Hakemal Hawari untuk memberi bantuan selepas mendengar tembakan dari arah sektor B dan C.

"DSP Hakemal mengarahkan saya dan pasukan saya untuk memberi bantuan dan berpecah dalam kumpulan kecil bergerak menuju kawasan bunyi tembakan. Kami bergerak dalam keadaan berlari.

"Dalam perjalanan ke arah sektor B dan C, kami jumpa sebuah rumah di mana kami diserang (ditembak) bertubi-tubi. Musuh (penceroboh) berada di tanah (bawah rumah) ketika itu," katanya.

Saksi ketujuh itu berkata beliau dan pasukannya terus mencari perlindungan dan membalas tembakan penceroboh.

Menurut Sahar, selepas kira-kira 10 minit berbalas tembakan, beliau mengarahkan anggota pasukannya supaya berundur kerana sukar untuk mencari perlindungan.

"Disebabkan kuasa tembakan musuh dan bentuk muka bumi yang tidak berpihak kepada kami, saya membuat keputusan untuk mengarahkan pasukan saya untuk berundur kerana kawasan lapang dan tidak ada perlindungan," katanya.

Beliau berkata tiada anggota pasukannya yang tercedera mahupun terkorban dalam insiden itu.

Selepas bertempur dengan penceroboh tersebut, Sahar berkata beliau dan pasukannya tidak dapat membantu rakan-rakan mereka di sektor B dan C kerana kedudukan mereka yang jauh iaitu kira-kira 1km.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed jika mendapat sebarang arahan daripada Hakemal selepas pertempuran itu, Sahar berkata Hakemal mengarahkannya dan pasukannya untuk mencari kawasan yang selamat untuk berlindung, sementara menunggu bantuan rakan-rakan mereka yang ditugaskan di sektor E.

Sahar memberitahu mahkamah pada 6 Mac tahun lepas kira-kira pukul 3.30 petang, beliau dan pasukannya menembak mati tiga pengganas di Kampung Tanjung Batu ketika menjalankan operasi 'cut-off' bagi menyekat penceroboh daripada terlepas dari kampung itu.

"Setelah saya bersama pasukan saya dalam kedudukan 'cut-off', kedengaran tembakan dari arah kawasan pasukan DSP Abdul Rani Alias di hadapan kawasan tanggungjawab saya dan pasukan saya.

"Dalam masa lebih kurang 10-15 minit lepas dengar bunyi tembakan (dari arah pasukan Abdul Rani), kelihatan tiga lelaki - dua berpakaian celoreng penuh dan berparang, dan seorang memakai separuh celoreng iaitu kemeja T dan seluar celoreng menuju ke arah kami," katanya.

Sahar berkata ketika tiga lelaki itu dalam jarak kira-kira 30 meter dari pasukannya, beliau dan pasukannya melepaskan tembakan ke arah tiga lelaki tersebut yang terus rebah.

Tiga puluh tertuduh, yang terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan dalam kes ini.

Sesetengah mereka menghadapi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, membawa masuk orang untuk menganggotai kumpulan pengganas atau secara sengaja melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah, bersambung pada Khamis.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Mungkin Tanding Di Kajang

Artikel Lain