suria

Pasangan M'sia Ditahan Di Sweden: Dua Pegawai JKM Pantau Empat Beradik

KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melantik dua pegawai bagi memantau perkembangan empat beradik anak pasangan warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden.

Ketua Pengarahnya, Datuk Noraini Mohd Hashim berkata, pegawai tersebut terdiri daripada kaunselor dan pegawai pelindung yang akan membuat pemantauan dari segi emosi dan psikologi empat beradik itu mengikut dua fasa sepanjang tahun ini.

"Fasa I bermula dari Februari hingga Jun dan fasa II dari Julai hingga Disember ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan bulanan kakitangan JKM Kelantan, di sini Isnin.

Beliau berkata, kaunselor akan memberikan sokongan psikologi dengan menggunakan Modul Psikoterapi Kanak-Kanak dari aspek penyesuaian diri, emosi, kognitif dan fizikal kepada mereka.

Pegawai pelindung pula akan melakukan lawatan setiap minggu untuk melihat penyesuaian kanak-kanak itu dengan persekitaran serta perhubungan dengan anggota keluarga dan lawatan ke sekolah untuk memastikan SCP (Social Care Plan) yang dirancang dapat dilaksanakan selari dengan perancangan pihak sekolah, katanya.

Noraini berkata, perkembangan empat beradik iaitu Aishah Azizul Raheem, 14, Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, akan dilapor setiap minggu ke Wisma Putra.

"Dengan adanya SCP ini diharap perkembangan kanak-kanak itu dapat dipantau dengan lebih teratur memandangkan keadaan mereka yang masih lagi baharu walaupun mereka berasal dari sini (Malaysia) tetapi persekitaran mereka sebelum ini amat berbeza dengan keadaan sekarang," katanya.

Beliau juga menasihati media agar mengurangkan liputan tentang kanak-kanak tersebut bagi mempercepatkan proses mereka menyesuaikan diri.

Azizul Raheem Awalludin adalah pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan isterinya Shalwati Nor Shal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Disember lepas kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat. - BERNAMA

Artikel Lain