suria

Peletakan Jawatan Waytha Tidak Jejas Usaha Bantu Kaum India - Dr Subramaniam

Dr S. Subramaniam
Dr S. Subramaniam

KUALA LUMPUR: Tindakan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P. Waytha Moorthy meletak jawatan sebagai timbalan menteri tidak akan menjejaskan agenda MIC untuk membantu komuniti India, kata Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Katanya beliau melihat peletakan jawatan Waytha sebagai keputusan peribadi dan tidak menggugat kedudukan perwakilan kaum India dalam kerajaan.

"Bagi saya mereka hanya membangkitkan isu yang sudah dibangkitkan oleh kami (MIC)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara keagamaan di kuil Hindu di Petaling Jaya, dekat sini Ahad.

Beliau berkata MIC telah dan akan terus berusaha menangani isu berkaitan kaum India dan kedudukannya dalam kabinet membolehkan usaha itu dilaksana dengan lebih berkesan.

"Sudah tentu ada sesetengah isu tidak dapat diselesaikan dengan segera. Kami berpuas hati dalam sesetengah isu dan ada juga yang kami tidak puas hati," katanya sambil menambah antara isu yang diselesaikan dengan jaya ialah pendidikan Tamil, manakala yang kurang memuaskan pula berkenaan pengambilan kaum India dalam perkhidmatan awam.

Ditanya sama ada MIC akan membuka pintu dan bekerjasama dengan Waytha untuk meningkatkan taraf hidup kaum India, beliau berkata perkara itu tidak mustahil, bagaimanapun bergantung kepada beberapa aspek termasuk bidang kerjasama yang boleh dilakukan.

Hindraf dalam kenyataan pada Sabtu, berkata peletakan jawatan Waytha sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah kerana kegagalan kerajaan menunaikan janji dalam memorandum persefahaman yang dimeterai sebelum pilihan raya umum 5 Mei tahun lepas.

Sementara itu Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang ketika dihubungi Bernama hari ini, berkata beliau belum menerima surat peletakan jawatan Waytha sebagai senator dan hanya mengetahui perkara tersebut melalui media.

Beliau berkata sepatutnya Waytha terlebih dahulu memaklumkan kepada Dewan Negara sebelum mengumumkan kepada media.

"Sejak Jumaat saya belum terima surat peletakan jawatan daripada Senator Waytha, saya mengetahuinya melalui akhbar. Terpulang pada budi bicara beliau, untuk Dewan yang mulia ini dan Senator (Waytha) juga seorang yang mulia sepatutnya tahu menghormati Dewan dan Perlembagaan," katanya.

Abu Zahar juga berkata beliau sedia berjumpa dan menerima surat peletakan jawatan Waytha pada bila-bila masa.

"Sebagai warganegara Malaysia, beliau antara seorang yang bertuah kerana dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri untuk berada dalam Dewan Negara," katanya.

Sementara itu Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M Kayveas berkata Waytha tidak patut menyalahkan kerajaan dan Barisan Nasional (BN) sebagai alasan meletak jawatan sebaliknya menyalahkan diri sendiri kerana gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab diberi.

"Dia gagal menjalankan tugas walaupun diberi peluang dan ruang. Dia langsung tidak faham bahawa untuk menjayakan sesuatu perubahan, memerlukan masa dan bukan semudah ABC dan tempoh satu malam untuk selesaikannya.

"Kami, MIC, PPP bekerjasama dalam mencari penyelesaian kepada masalah dihadapi masyarakat India seperti kemiskinan, sekolah Tamil dan setinggan dan dilakukan tanpa publisiti langsung.

"Tetapi Waytha langsung tidak pernah menemui kami sejak dilantik hingga masyarakat datang kepada kami beritahu betapa sukarnya menemui Waytha. Jadi usaha kami membantu masyarakat India tidak akan terjejas tanpa penglibatannya pun," katanya.

Senada dengannya, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader turut meminta Waytha menjelaskan dakwaan kononnya kerajaan dan BN gagal dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat India.

"Namakan apa yang BN gagal buat. Janganlah cakap tidak buat langsung. Banyak sudah buat dan diselesaikan, pelbagai imbuhan dan bajet telah diberi. Bukannya tidak bagi langsung.

"Saya tidak faham macam mana dia boleh buat tuduhan macam itu. Saya rasa dia ada agenda lain melalui Hindraf dengan platform yang telah diberi, dan bukannya betul-betul hendak perjuangkan masyarakat India," katanya kepada Bernama. - BERNAMA

Artikel Lain