suria

Lumba Haram Gagal, Polis Tahan 103 Mat Rempit

GEORGE TOWN: Polis menggagalkan cubaan mengadakan perlumbaan haram di sekitar Persiaran Bayan Mutiara dekat sini selepas menahan 103 mat rempit dalam Operasi Bersepadu Cegah Samseng Jalanan awal hari Sabtu.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supt Wan Aziz Wan Husin berkata sebelum itu beberapa anggota kumpulan itu cuba merempuh anggota polis yang bertugas untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

Ada yang menunggang motosikal dengan melawan arus jalan raya tetapi cubaan mereka gagal kerana kawasan itu telah dikepung, katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata kesemua mat rempit berumur antara 20-an dan 30-an dibawa ke Pangkalan Polis Marin, Batu Uban untuk pemeriksaan lanjut dan hasil ujian air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah.

Operasi enam jam berakhir pukul 6.30 pagi itu turut melibatkan anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Pulau Pinang, Jabatan Pengangkutan Jalan negeri dan Jabatan Alam Sekitar negeri.

Wan Aziz berkata 63 saman serta 32 notis pemeriksaan dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya seperti mengubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi dan menggunakan plat motosikal bersaiz kecil.

Sebanyak 23 motosikal turut disita selepas penunggangnya didapati tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain