suria

Bekas Jurujual Tiket Air Asia Hadapi 40 Tuduhan Pecah Amanah

SHAH ALAM: Seorang bekas jurujual tiket syarikat penerbangan Air Asia Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat terhadap 40 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang caj lebihan bagasi penumpang berjumlah RM9,740.

V.Prabagara Rao, 28, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim G.Ramesh.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Kaunter Air Asia Bhd, Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT), Sepang dekat sini, antara Disember 2008 sehingga April 2009.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Ramesh membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM6,000 serta dua penjamin dan menetapkan 27 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Raimi Mohd Ramli sementara Prabagara Rao tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain