suria

Kerjasama Penuh Diberi Kepada S'pura Tangani Isu Wanita Rakyat M'sia Ditahan

Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid Hamidi.

SINGAPURA: Kerajaan memberi kerjasama penuh kepada Singapura menangani isu wanita rakyat Malaysia yang kini ditahan di republik itu kerana didakwa merempuh halangan keselamatan di Kementerian Luar 20 Januari lalu.

Nurul Ruhana Ishak, 27, kini direman di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Ahmad Zahid yang berada di republik itu sempena lawatan kerja dua hari bermula Khamis ditanya sama ada isu itu dibincang semasa pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya Menteri Dalam Negeri merangkap Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean.

"Kami tidak bincang, tapi kita faham dan mereka faham," katanya kepada Bernama.

Oleh kerana kes ini telah ditangani oleh Singapura, Ahmad Zahid berkata: "kita yakin beberapa langkah perundangan telah dilakukan oleh mereka."

"Kita memberikan kerjasama seerat-eratnya (dengan) memberikan sebarang latar belakang orang yang terlibat dan juga maklumat-maklumat lain yang diperlukan mereka," jelas Ahmad Zahid.

Pada 17 Januari lalu, wanita dari Kampung Baharu, Bukit Jenun di Pendang, Kedah itu didakwa merempuh sekatan keselamatan di kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Singapura di Woodlands di sini.

Selama tiga hari berikutnya, dia hilang tanpa dapat dikesan di republik itu sehinggalah didapati berada di perkarangan kementerian berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain