suria

Tiga Lelaki Ditahan Guna Bom Ikan

KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, Sabah menahan tiga lelaki yang disyaki menangkap ikan menggunakan bom ikan di kawasan perairan Inderasabah, Rabu.

Komander PPM Wilayah 4 ACP Mohamad Madun berkata kesemua mereka berumur 18 hingga 30 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu ditahan ketika menjalankan aktiviti mereka menggunakan sebuah bot pam.

"Polis menjumpai sejumlah ikan pelbagai spesies di dalam sebuah tong plastik dan peralatan menangkap ikan seperti seunit 'compressor', seunit 'goggle', seunit gelung hos dan kasut menyelam buatan sendiri.

"Kesemua ikan, bot dan peralatan yang dianggarkan bernilai RM5,050 itu dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut," kata Mohamad dalam kenyataannya di laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Khamis.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1) (a) Akta Perikanan 1985.

Sementara itu, Mohamad berkata polis memandang serius kegiatan menangkap ikan menggunakan bom ikan kerana ia memusnahkan habitat ikan dan boleh membawa kepada kemerosotan sumber perikanan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain