suria

Umno Johor Bakal Perkenal KPI Bagi Semua Bahagian Dan Cawangan

JOHOR BAHARU: Setiap bahagian dan cawangan Umno di Johor bakal mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu dicapai bagi meningkatkan perkhidmatannya kepada masyarakat di negeri ini, kata setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor Mohd Jais Sarday.

Beliau yang juga exco kanan kerajaan negeri berkata, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor akan mengumumkan KPI berkenaan dalam masa terdekat.

"Kita sedang merangka secara terperinci (KPI) supaya setiap bahagian dan cawangan Umno di Johor mempunyai KPI masing-masing. Ia akan diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri tidak lama lagi," katanya kepada Bernama di sini.

Walaupun perincian tentang KPI itu masih dirangka, tetapi ia bakal merangkumi perkara-perkara seperti usaha untuk meningkatkan pendaftaran anggota Umno dan pemilih, katanya.

Menerusi perlaksanaan sistem KPI itu, kata Mohd Jais, Umno Johor juga mahu melihat bahagian-bahagian dan cawangannya memainkan peranan sebagai penyampai permasalahan yang dihadapi masyarakat di peringkat daerah.

"Mana-mana permasalahan masyarakat yang tidak selesai di peringkat daerah, (bahagian dan cawangan Umno) boleh membawanya ke peringkat perhubungan negeri dan kita akan bantu menyelesaikannya di peringkat kerajaan.

"Umno perlu melakukan banyak perubahan jika ia tidak mahu diubah oleh rakyat," kata Mohd Jais.

Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berkata, Umno dan kerajaan negeri perlu seiring dan berganding bahu bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat.

Umno, menurut beliau, tidak boleh sekadar terlibat di dalam menganjurkan program-program tetapi perlu menjadi "mata dan telinga" rakyat dan membantu menyelesaikan masalah mereka.

"Apabila rakyat hidup selesa tiada masalah, rakyat akan memberikan sokongan mereka kepada kerajaan," kata Mohd Jais dan menambah, Umno Johor mahu memainkan peranan sebagai platfom bagi masyarakat menyampaikan suara hati mereka.

Disebabkan itulah, katanya, Mohamed Khaled di antara usaha pertamanya selepas dilantik sebagai Menteri Besar Johor melancarkan kajian "Suara Hati Johor" bagi mengetahui tentang kehendak dan aspirasi rakyat negeri ini.

Kajian "Suara Hati Johor" itu dilaksanakan oleh penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain