suria

Loji Air Cheras Ditutup Semula

KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 yang kembali beroperasi Ahad lepas terpaksa ditutup semula 8 pagi Selasa apabila kandungan ammonia dikesan meningkat ke paras 6.40PPM (part per million) berbanding paras dibenarkan iaitu 1.50PPM.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan pada Selasa turut memaklumkan LRA Bukit Tampoi yang ditutup sejak 28 Januari lepas belum dapat beroperasi berikutan pencemaran ammonia masih di paras 4.20PPM.

Berikutan penutupan itu, beberapa kawasan di Hulu Langat dan Kuala Langat dijangka akan terus mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Syabas akan terus membantu pengguna dengan menyediakan lori tangki air ke kawasan yang mengalami gangguan dan membuat pemantauan berterusan situasi ini," katanya.

Syabas juga akan memaklumkan perkembangan terkini berhubung situasi itu selepas menerima maklum balas daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selaku pihak berkuasa kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap sumber air mentah di negeri itu.

Penduduk di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dinasihati agar menjimatkan penggunaan air bagi membolehkan bekalan berlebihan disalur ke kawasan terjejas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain