suria

Rumah Adun Batu Caves Dipecah Masuk

KUALA LUMPUR: Rumah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves di Taman Templer Suasana, Rawang dipecah masuk awal pagi Khamis dan beberapa barangan berharga dilarikan.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata, kejadian hanya disedari Amirudin Shari, 33, apabila beliau bangun kira-kira 8 pagi dan mendapati pintu belakang rumahnya terbuka.

"Hasil pemeriksaan mendapati barangan yang hilang ialah seutas jam tangan, wang tunai RM500, dua buah telefon bimbit, dompet beliau dan isterinya, kad ATM serta beberapa dokumen pengenalan diri.

"Jumlah kerugian dianggar bernilai kira-kira RM1,500," katanya pada Jumaat.

Dilaporkan tiada pengawal keselamatan yang betugas ketika kejadian.

"Bagaimanapun kami berjaya mengesan tiga cap jari di tempat kejadian yang dipercayai milik perompak," kata Abdul Rahim.

Dalam laman Facebook, Amirudin berkata, kehilangan telefon bimbit dalam kejadian itu menyebabkan beliau tidak dapat dihubungi rakan-rakannya.

"Saya mohon maaf kerana tidak dapat dihubungi sehingga lepas Tahun Baharu Cina sebab telefon saya hilang bersama beberapa barang lain selepas kejadian kecurian di rumah saya pada awal pagi 30 hari bulan.

"Insya-Allah, lepas cuti Tahun Baharu Cina semuanya akan kembali sedia asal," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain