suria

Polis Berkas Suspek Samun Kedai Telefon

KUALA TERENGGANU: Polis memberkas seorang pemuda berusia 24 tahun kerana disyaki menyamun sebuah kedai menjual alat komunikasi dengan bersenjatakan pistol di Jalan Seberang Kastam, Kampung Seberang Kastam, Hulu Besut, Besut, 28 Disember lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Manoharan berkata, suspek itu ditahan 16 Januari lepas di tempat letak kenderaan di Kota Putera, Besut pada 1.45 tengah hari.

"Suspek ditahan bersama sebuah telefon bimbit yang disamun di kedai itu dan kita turut merampas lima telefon bimbit daripada suspek selain kita turut merampas enam lagi telefon bimbit daripada pembeli suspek," katanya di sini Khamis.

Dalam kejadian itu, dua lelaki bertopi keledar menyamun kedai itu dan seorang daripada mereka bersenjata pistol jenis revolver mengarahkan tiga pekerja kedai itu memasukkan kesemua telefon dipamerkan dalam rak kaca ke dalam sebuah beg.

Dalam kejadian 2.55 petang itu, seorang suspek melepaskan satu das tembakan ke arah seorang pekerja makanan yang ingin menghalang mereka namun mangsa hanya mengalami cedera ringan apabila peluru hanya bergesel di bahagian perut.

Manoharan berkata berdasarkan siasatan, suspek yang ditahan merupakan orang yang melepaskan tembakan dan pistol berkenaan dipercayai berada dalam simpanan rakan suspek berusia 24 tahun.

"Kita sudah mengenal pasti suspek kedua dan akan menahannya dalam masa terdekat. Kita juga percaya sebahagian daripada 100 telefon bimbit dan tablet yang disamun berada dalam simpanan suspek kedua," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain