suria

Gangguan Bekalan Air Di Beberapa Kawasan Di Selangor Mulai 9 Malam Jumaat

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Selangor akan mengalami gangguan bekalan air dan tekanan rendah berikutan penyaluran air ke kolam simpanan Hicom Shah Alam terpaksa dihentikan sementara mulai pukul 9 malam Jumaat.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan di sini Jumaat berkata, gangguan itu disebabkan kerja-kerja baikpulih kebocoran paip jenis 'Mild Steel' bersaiz 1,500 mm yang membekalkan air ke kolam tersebut.

Kebocoran yang dikesan pada Jumaat pada sambungan injap paip berkenaan dijangka mengambil masa sehingga pukul 5 pagi Sabtu untuk siap dibaikpulih sepenuhnya.

"Berikutan penutupan sementara kemasukan air ke kolam Hicom ini, paras kolam simpanan air sedia ada mampu bertahan selama lapan jam untuk terus membekalkan air ke kawasan yang terjejas," menurut kenyataan itu.

Kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air ialah keseluruhan Seksyen 22, Seksyen 25 hingga 28 dan Seksyen 32 hingga 33, Shah Alam; keseluruhan UEP Subang Jaya; keseluruhan Bukit Naga, Shah Alam; keseluruhan Batu 8, Bukit Kemuning, keseluruhan Subang Mas, Batu 3 dan Kampung Baru Hicom, Shah Alam; keseluruhan Kampung Kebun Bunga, Bandar Putera, Putra Heights dan Kampung Bukit Lanchong.

Syabas memohon kerjasama dari para pengguna di kawasan terbabit agar mengurangkan penggunaan dan mengelakkan pembaziran sepanjang tempoh kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.

Ini kerana kolam air Hicom adalah satu-satunya sumber bekalan air ke kawasan tersebut dan pengurangan tahap penggunaan air dalam tempoh ini dapat membantu paras kolam simpanan itu untuk bertahan lama, sekali gus mengelakkan gangguan bekalan air yang dijangkakan.

"Namun begitu, pihak Syabas sentiasa siapsiaga dengan segala keperluan untuk mengurangkan kesan gangguan bekalan air kepada pengguna," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain