suria

Tolak Ugutan, Keganasan Atau Tindakan Ekstrem - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia supaya menolak sebarang bentuk ugutan, keganasan atau tindakan ekstrem yang boleh menggugat keharmonian yang dikongsi dan dinikmati pelbagai kaum di negara ini.

Dalam perutusan Tahun Baharu Cina beliau, Perdana Menteri berkata, ketika rakyat bergembira menyambut ketibaan tahun kuda, mereka juga haruslah mendukung perpaduan dan keharmonian antara kaum yang telah dinikmati sejak sekian lama.

"Saya pasti kita sepatutnya percaya kepada suara kebenaran. Tergalas di bahu kita untuk bertindak dengan wajar dan sentiasa mendengar pandangan satu sama lain.

"Dalam rumpun kebudayaan Malaysia, kita mestilah menjunjung kedaulatan undang-undang dan sentiasa menghormati sensitiviti anutan lain," katanya dalam blog www.1Malaysia.com.my.

Beliau menarik perhatian bahawa walaupun banyak kemajuan dicapai dalam program transformasi, perjalanannya masih jauh dan banyak lagi yang perlu dicapai.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, program transformasi memerlukan sokongan daripada segenap lapisan masyarakat – terutamanya komuniti kaum Cina yang terkenal mahir dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata, banyak inisiatif sedang diusahakan demi meningkatkan taraf kehidupan rakyat termasuk program berterusan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Ops Harga bagi membendung kenaikan harga dan banyak lagi untuk membantu mengurangkan kesan tekanan inflasi global.

Selain itu, katanya, mesyuarat perundingan dan perbincangan yang memberi fokus kepada menangani isu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat juga dijalankan.

"Segala usaha kita akan berkecai sekiranya tidak ditunjangi dengan sokongan dari anda semua.

"Kita mesti kekal berdaya tahan dalam menempuhi cabaran ekonomi untuk mengekalkan kestabilan dan kemajuan demi generasi masa akan datang," kata beliau.

Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat Cina Malaysia, Najib menyatakan penghargaannya terhadap peranan yang dimainkan mereka dalam membina negara sejak zaman merdeka lagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain