suria

Penceroboh Dilayan Baik Jika Mereka Keluar Tanpa Senjata - Saksi

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu diberitahu bahawa penceroboh yang tinggal di Kampung Tanduo, Lahad Datu akan dilayan dengan baik sekiranya mereka keluar dari kawasan itu tanpa membawa senjata api.

DSP Abdul Rani Alias, komando VAT69 yang mengetuai kawasan Sektor D, berkata sekiranya penceroboh membawa bersama risalah yang digugurkan dari udara menggunakan helikopter oleh pihak berkuasa Malaysia yang meminta mereka keluar tanpa membawa senjata, ia adalah alasan baik kepada pasukannya untuk tidak menembak mereka.

"Saya setuju kalau mereka (penceroboh) membawa kertas itu tetapi kalau dia membawa senjata, itu cerita lain," katanya ketika menjawab cadangan yang dikemukakan peguam Datuk N.Sivananthan semasa pemeriksaan balas.

Abdul Rani juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa sesiapa yang membaca risalah itu, ia menyatakan penceroboh diminta supaya tidak membawa senjata dan bukannya menyatakan penceroboh tidak boleh keluar dengan berpakaian celoreng.

Beliau turut bersetuju dengan Sivananthan bahawa risalah itu menyatakan maklumat yang jelas bahawa penceroboh akan dilayan dengan baik jika tidak membawa senjata.

Sivananthan : Adakah anda setuju dengan saya berdasarkan apa yang tertera di dalam risalah itu, sesiapa yang membawa dokumen itu akan diberikan laluan selamat untuk keluar?

Abdul Rani : Ya, saya setuju.

Risalah bersaiz kertas A4 itu yang ditulis dalam bahasa Sulu telah digugurkan dari udara pada 9 pagi, pada 25 Februari tahun lepas.

Risalah itu diterjemah ke dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah, yang antara lain menyatakan : "Laluan untuk keluar. Apa yang anda lakukan adalah membuang masa sahaja. Ia akan membawa kesukaran kepada anda dan keluarga anda. Sembunyikan dan tanamkan senjata api anda. Bila keluar, bawa bersama surat ini."

Risalah kedua pula digugurkan pada 2.45 petang, 27 Februari yang diterjemahkan dari bahasa Sulu kepada bahasa Inggeris, yang menyatakan: "Ini amaran terakhir. Saya tidak beri banyak masa lagi. Serah diri sebelum menyesal dengan apa yang berlaku terhadap anda, jika tidak menyerah diri sekarang. Ini amaran terakhir, ingatkan keluarga anda dan sanak saudara anda di kampung halaman."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain