suria

Hakim Tarik Diri Dengar Rayuan Anggota Parlimen Bintulu

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Linton Albert pada Rabu menarik diri daripada mendengar rayuan difailkan anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berhubung satu saman fitnah.

Albert, yang mempengerusikan panel tiga anggota Mahkamah Rayuan, berkata satu lagi panel hakim akan mendengar rayuan itu kerana beliau kenal plaintif dalam kes itu dan mereka adalah kawan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Mac untuk mendengar rayuan itu.

Turut bersidang bersama-sama Albert ialah Hakim Datuk Aziah Ali dan Hakim Datuk Anantham Kasinather.

Tiong merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memaksa bekas wartawan New Straits Times Joseph Sipalan mendedahkan sumbernya bagi satu artikel ditulisnya, yang merupakan perkara pokok dalam saman fitnah difailkan Tiong terhadap bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.

Sipalan menulis satu artikel bertajuk 'Chua and Tiong in cahoots' yang diterbitkan dalam New Sunday Times pada 6 September, 2009.

Semasa menolak permohonan Tiong pada 31 Julai tahun lepas, Hakim Lau Bee Lan memutuskan beliau berpendapat demi kepentingan awam, mahkamah tidak patut memerintahkan Sipalan mendedahkan sumbernya.

Dalam penghakimannya, Lau memberikan enam alasan kenapa mahkamah memutuskan untuk tidak memerintahkan Sipalan mendedahkan sumbernya, antara alasan itu ialah beliau telah berjanji untuk menjaga kerahsiaan berhubung sumber maklumat itu.

Tiong pada asalnya memfailkan saman pada 12 Oktober, 2009 terhadap The New Straits Times Press Bhd, bekas editor kumpulan Datuk Syed Nadzri Syed Harun, Sipalan dan Ong.

Beliau kemudiannya menarik balik tuntutannya terhadap NSTP dan dua pihak yang lain.

Peguam Bhag Singh mewakili Sipalan, peguam Chan Tse Yuen mewakili Ong manakala Tiong diwakili peguam Prem Ramachandran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain