suria

MCA Sedia Bongkar 'Drama' Pembangkang - Wee

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

PETALING JAYA: MCA sedia membongkar agenda politik pembangkang yang hanya pandai 'berlakon' daripada berkhidmat kepada rakyat selepas dipilih sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Timbalan Presdien MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, parti itu yang baru melalui perubahan dalam pimpinan parti akan melipatgandakan kerja mereka bagi membongkar helah pembangkang.

Menurutnya, walau sesiapa sahaja yang dipilih menjadi calon oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), MCA akan tetap menjalankan tugas mereka sebagai parti komponen.

"Jika PRK DUN Kajang berlaku, inilah masanya untuk MCA membongkar helah pembangkang yang hanya berpropaganda daripada berkhidmat kepada rakyat.

"Rakyat perlu tahu bahawa kerajaan telah membela nasib mereka selama ini daripada pemimpin pembangkang yang lebih sibuk bermain politik dalaman parti masing-masing," katanya kepada mStar.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Rabu melaporkan bahawa ramai penduduk dan pengundi DUN Kajang mendakwa tidak mengenali Lee Chin Cheh yang meninggalkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Tindakan Chin Cheh itu dipercayai bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik menjadi menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Wee yang juga Parlimen Ayer Hitam memberitahu, MCA akan mengatur beberapa strategi baru bagi menepis dakyah dan tohmahan pembangkang dalam PRK itu nanti.

Jelasnya, paling penting ialah, memberi pengetahuan kepada pengundi Kajang bahawa mereka perlu sedar tentang 'lakonan' wakil rakyat pembangkang yang prihatin terhadap rakyat ketika pilihan raya sahaja.

"Tetapi hakikatnya apabila sudah menang atau kalah, pemimpin pembangkang akan menghilangkan diri tanpa memberikan khidmat kepada rakyat.

"Rakyat perlu tahu mengenai hakikat dan 'lakonan' yang sedang dimainkan pemimpin pembangkang," ujarnya.

Artikel Lain