suria

Kastam Sabah Kutip RM837 Juta

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mengutip hasil berjumlah RM837 juta tahun lalu meningkat 2.07 peratus atau RM17 juta berbanding RM820 juta pada tahun 2012, kata Pengarahnya Datuk Dr Janathan Kandok.

Beliau berkata antara penyumbang utama peningkatan pungutan hasil berkenaan diperoleh daripada duti eksport iaitu sebanyak RM444 juta, cukai perkhidmatan RM165juta dan cukai jualan (import) RM82juta dan selebihnya daripada kutipan cukai lain.

"Prestasi bahagian penguatkuasaan juga meningkat. Kutipan hasil yang diperoleh adalah sejumlah RM3.3 juta pada tahun lalu berbanding RM2.8 juta pada tahun 2012," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Janathan berkata, nilai perolehan kes penyeludupan rokok pada tahun 2013 ialah RM5.9 juta meningkat 39.1 peratus berbanding RM1.3 juta pada tahun 2012 manakala nilai perolehan penyeludupan minuman keras juga meningkat daripada RM287 ribu pada tahun 2012 kepada RM527 ribu tahun lalu.

Bagaimanapun Janathan berkata aktiviti penyeludupan di Sabah menurun sepanjang tahun lalu dengan merekodkan 1,730 kes berbanding 1,971 kes pada tahun 2012.

Pos Pacak yang dijalankan sepanjang tahun lalu di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu serta 4,120 aktiviti pencegahan dalam bentuk operasi bersepadu bersama agensi lain antara faktor menurunnya kes penyeludupan khususnya di pintu masuk utama di negeri ini," katanya.

Menurut Janathan selain Bandaraya Kota Kinabalu, tumpuan operasi termasuk di Tenom, perairan Tawau, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Paitan, Pekan Inanam, Bandar Sibuga Jaya merangkumi taman perumahan, pusat komersial, perumahan setinggan, rumah atas air dan pulau-pulau berisiko tinggi di kawasan pantai timur.

Katanya, Bahagian Pematuhan agensi itu juga mencapai prestasi tinggi dari segi bayaran yang dipungut iaitu RM6.8 juta pada tahun lalu berbanding RM3.7 juta pada tahun 2012 manakala nilai kompaun mencatat RM180,200 pada tahun lalu berbanding RM134,800 pada tahun 2012. BERNAMA

Artikel Lain