suria

Shalwati Gembira Dapat Sokongan - Peguam Sweden

STOCKHOLM: "Anak guam saya amat gembira kerana mendapat sokongan dari tanah airnya. Beliau OK dan saya telah berjumpa dengannya beberapa kali," kata peguam bela bagi Shalwati Norshal, yang ditahan di sini.

Peguam Sweden itu, Kristofer Stahre, berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan Malaysia pada petang Isnin tentang keadaan terkini Shalwati dan suaminya, yang turut ditahan pihak berkuasa Sweden kerana dituduh mendera kanak-kanak.

Terdahulu, Stahre mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Biro Pengaduan Masyarakat Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous dan timbalannya, yang juga pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam), Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Shalwati, seorang guru yang mengambil cuti tanpa gaji, dan suaminya pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalludin, ditahan sejak 18 Disember tahun lepas kerana dituduh memukul tangan seorang daripada empat anak mereka yang tidak menunaikan solat.

Kanak-kanak itu dipisahkan daripada ibu bapa mereka sejak 40 hari lepas dan pihak berkuasa Sweden melantik satu keluarga bukan Islam untuk menjaga empat beradik itu, yang mengadu mereka tidak gembira dengan keadaan yang dialami mereka.

Stahre berkata beliau memberitahu Shalwati tentang sokongan yang diterima wanita itu di Malaysia melalui laman Twitter SwedenLetThemGo serta laman facebook #BringShalNFamilyHome dan wanita berkenaan menghargai serta terharu dengan sokongan yang diberikan kepadanya.

Katanya pendengaran akan diadakan Khamis ini untuk menentukan sama ada pihak pendakwaan akan mengenakan tuduhan sekiranya terdapat cukup bukti.

"Sekiranya tidak cukup bukti, reman akan dilanjutkan dan sekiranya tiada apa-apa juga, pasangan ini akan dibebaskan daripada reman. Bagaimanapun, siasatan sedang diteruskan," katanya.

Menurut Stahre, Shalwati berdepan pertuduhan kes jenayah (penderaan kanak-kanak) dan kes penjagaan (sesuai atau tidak untuk menjadi ibu bapa).

Sementara itu, Khairul berkata Sukaguam dan Pemuda Umno yakin pasangan berkenaan mempunyai hujah bela diri yang kuat untuk membolehkan mereka dilepaskan daripada tuduhan mendera anak mereka.

"Kami mendapat tahu, terdapat beberapa kes di negara ini di mana mahkamah menerima pakai unsur mendisiplinkan kanak-kanak sebagai alasan untuk membebaskan tertuduh," katanya.

Beliau berkata Stahre bersetuju bahawa di dunia Islam, definisi tentang apa yang dianggap sebagai penderaan atau penyeksaan di negara ini sebenarnya bertujuan untuk mendidik, tetapi disebabkan perbezaan budaya, ia (menghukum kanak-kanak) menyalahi undang-undang di sini, jadi isu ini perlu disuarakan secara serius. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain