suria

Bincang Isu Kalimah Allah Dalam Forum - Noh Omar

SHAH ALAM: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar meminta Kumpulan Media Karangkraf menganjurkan satu forum atau wacana berhubung isu kalimah 'Allah' daripada sudut perundangan pada masa akan datang.

Noh berkata program itu bagi menggantikan debat antara beliau dan Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad berhubung isu kalimah Allah yang dijadualkan pada Isnin, namun dibatal Kumpulan Media Karangkraf selaku penganjur atas alasan keselamatan dan desakan pihak luar.

Beliau berkata forum itu perlu diteruskan kerana pembangkang mengambil kesempatan dengan menggambarkan pembatalan debat berkenaan adalah atas arahan Umno.

"Jika saya berdebat dengan Khalid Samad dilihat sebagai konflik sesama Melayu, mengapa tidak dibuat forum dengan bukan Melayu," katanya kepada pemberita Isnin.

Noh berkata pihak yang menimbulkan suasana tidak harmoni ialah Pengarang majalah mingguan Katolik The Herald Paderi Lawrence Andrew, yang tidak menghormati enakmen kerajaan negeri, Jawatankuasa Fatwa Negeri serta titah Sultan Selangor agar bukan Islam tidak menggunakan kalimah Allah, terutama dalam Bible.

Beliau berkata pembangkang cenderung mempertahan individu yang melanggar undang-undang dengan mengangkat mereka sebagai 'hero'.

"Perkembangan ini membimbangkan kerana mampu mewujudkan suasana tidak harmoni di dalam negara jika rakyat tidak lagi menghormati undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sehubungan itu, Noh berkata perkembangan tidak sihat ini perlu diperbetul dengan cara bersemuka menerusi forum atau wacana, dan tidak cukup menerusi kenyataan akhbar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Lelaki Nyaris Maut Ditembak

Artikel Berikut

Artikel Lain