suria

Penyamun Gagal Larikan RM368,660 Ketika Cuba Pecah Mesin ATM

KOTA BAHARU: Sekumpulan penyamun yang cuba memecah sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail (KIAS) Nilam Puri semalam, gagal melarikan wang tunai berjumlah RM368,660 yang terdapat dalam ATM berkenaan kerana tidak tahu proses keselamatan mesin itu.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata insiden pada 6.42 pagi itu disedari ibu pejabat syarikat keselamatan selepas mesin berkenaan menghantar isyarat berlaku pencerobohan.

"Bagaimanapun, kumpulan penyamun itu berputih mata selepas gagal membuka pintu lapisan kedua mesin ATM berkenaan selepas membakar lapisan pintu pertama menggunakan petrol.

"Siasatan mendapati kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam kiosk ATM itu telah disembur dengan cat hitam selain panel kabel sistem penggera turut dicabut," katanya ketika melawat lokasi kejadian Jumaat.

Beliau berkata siasatan di tempat kejadian menemui satu bahagian kepala Oxy yang diguna bagi menebuk lapisan kedua ATM dan lapan kesan cap jari pada cermin penghadang mesin itu.

"Kita turut menemui kesan tayar dua buah motosikal berdekatan tempat kejadian. Jumlah sebenar penyamun yang terlibat masih dalam siasatan kerana rakaman CCTV terjejas.

"Pemeriksaan buku lawatan polis mendapati kali terakhir lawatan dibuat pada pukul 1 pagi pada malam kejadian oleh anggota ronda Balai Polis Nilam Puri," kata Azham sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 486 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu akan mengadakan Op Selamat sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina selama dua minggu mulai 25 Januari.

Azham berkata pihaknya mengenal pasti 10 lokasi 'panas' dan akan memperketat rondaan di kawasan berkenaan dalam tempoh itu.

Beliau berkata pemilik yang ingin meninggalkan kediaman untuk pulang bercuti boleh melaporkan ketiadaan mereka di balai polis berhampiran dan anggota keselamatan akan melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

"Kita juga akan bekerjasama dengan sukarelawan skim rondaan sukarela di kawasan rukun tetangga bagi menjaga ketenteraman awam," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain