suria

Peningkatan Mendadak Kes Denggi Membimbangkan

KAJANG: Terdapat peningkatan membimbangkan dalam kes demam denggi di negara ini apabila bilangan kes dicatatkan lebih tiga kali ganda dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sehingga Rabu, sebanyak 6,155 kes telah dilaporkan, peningkatan sebanyak 243 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun 2013.

Bilangan kematian juga telah meningkat dua kali ganda, dengan 10 kematian dilaporkan setakat ini berbanding hanya lima pada Januari tahun lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata Selangor mempunyai paling banyak kes denggi dengan 3,168 kes, membentuk 51 peratus daripada jumlah kes.

"Dua daripada 10 kematian adalah di daerah Hulu Langat," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan 'panas' denggi di sini, Jumaat.

Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing mencatatkan 666 dan 502 kes.

Terdapat 333 kes di Negeri Sembilan, Melaka 241 kes, Kelantan 173 kes, Pulau Pinang 166 kes, Sabah 110 kes, Terengganu 100 kes, Sarawak 85 kes, Kedah 66 kes, Pahang 53 kes dan Perlis 20 kes.

Beliau berkata kenaikan mendadak kes ini amat membimbangkan dan menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam memastikan rumah dan persekitaran tidak menjadi tempat pembiakan bagi nyamuk Aedes.

"Secara umumnya, masyarakat amat sedar mengenai bahaya denggi tetapi mereka masih cenderung untuk mengabaikan tempat-tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan Aedes," katanya.

Angka-angka terkini peningkatan jangkitan denggi mungkin menunjukkan ia akan menjadi lebih teruk pada tahun ini, jika usaha-usaha untuk memusnahkan nyamuk Aedes tidak dipergiatkan.

Sebanyak 43,346 kes telah dicatatkan tahun lepas, dengan 92 kematian.

"Selangor mempunyai bilangan kes paling tinggi iaitu 23,852 atau 55 peratus dengan 25 kematian," kata Dr Subramaniam, sambil menambah daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak dikategorikan sebagai kawasan panas denggi.

Lebih empat juta premis diperiksa di seluruh negara dan kira-kira 15,000 kompaun telah dikeluarkan berjumlah RM7.7 juta.

"Kementerian akan meningkatkan usaha, terutamanya di kawasan panas denggi melalui usaha berterusan Ops Gempur Aedes bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk," kata Dr Subramaniam.

"Dari 1 hingga 22 Januari, kira-kira 168,000 premis telah diperiksa di seluruh negara dan 411 kompaun telah dikeluarkan dengan denda berjumlah RM205,500," katanya.

Langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi ancaman denggi termasuk kawalan biologi menggunakan semburan Bacillus thuringiensis israelensis (sejenis bakteria) untuk membunuh larva nyamuk.

"Kami akan menggunakan lebih semburan temephos ( racun perosak ) untuk membunuh larva dan nyamuk dewasa serta perangkap autocidal (satu kaedah baru untuk memerangkap dan membunuh larva dan nyamuk)," katanya.

Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Dr Rose Nani Mudin memberitahu 'The Star' bahawa peningkatan dalam kes denggi adalah disebabkan pelbagai faktor.

"Sejak kebelakangan ini, terdapat lebih banyak kes di peringkat global dan penyakit ini disebarkan lebih cepat kerana pergerakan manusia.

"Faktor lain adalah cuaca. Air hujan yang terkumpul dalam tong sampah, walaupun sedikit seperti satu sudu teh, cukup untuk nyamuk Aedes untuk membiak," katanya.

Dr Rose berkata kira-kira 70 peratus daripada kawasan pembiakan Aedes adalah di kawasan perumahan kerana nyamuk tertarik kepada kawasan berpenduduk padat.

Artikel Lain