suria

Jambatan Kedua Runtuh: Dua Syarikat Kontraktor Mengaku Tidak Bersalah

BALIK PULAU: Dua wakil syarikat kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Rabu terhadap pertuduhan gagal memastikan keselamatan di kawasan projek sehingga menyebabkan kematian orang awam dan kecederaan pekerja semasa kejadian runtuhan penyambung Jambatan Kedua Pulau Pinang pada Jun tahun lepas.

Chan Kah Heen, 39, yang mewakili Cergas Murni Sdn Bhd dan Raub Razali, 50, pengarah Giga Engineering & Construction Sdn Bhd, meminta kes dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Najib Ismail.

Muhammad Najib berkata, kes itu akan disebut semula di Mahkamah Sesyen pada 28 Februari berikutan hakim Mahkamah Sesyen tiada untuk sebutan pada Rabu.

Cergas Murni dituduh gagal menjalankan pengusahaan semasa kerja pembinaan susur Batu Maung Pakej 3A projek Jambatan Kedua Pulau Pinang pada kira-kira 7 malam, 6 Jun tahun lepas.

Berikutan itu, runtuhan itu telah menyebabkan kematian seorang orang awam, Tajudin Zainal Abidin dan kecederaan kepada dua orang iaitu Thilasheni Rajendran, 25 dan Gajashantini Gajanujan, 25.

Giga Engineering & Construction, selaku majikan pula dituduh gagal memastikan keselamatan pekerja semasa pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang pada tarikh dan waktu yang sama.

Berikutan itu, runtuhan itu telah menyebabkan kecederaan kepada dua pekerja warga asing, Slamet Toket dan Tin Maung Lwin.

Cergas Murni didakwa mengikut Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 manakala Giga Engineering & Construction mengikut Seksyen 15 (1) akta sama serta Seksyen 19 akta sama.

Kedua-dua kesalahan itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit sekasahan.

Cergas Murni diwakili peguam Sarita Ashok Khandhar manakala Giga Engineeringc & Construction tidak diwakili peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Sumber Manusia Norakmar Mohd Sani dan Nik Azrin Zairin Nik Abdullah. - BERNAMA

Artikel Lain