suria

Ceroboh: Wanita Malaysia Ditempatkan Di Institut Kesihatan Mental Singapura

SINGAPURA: Seorang wanita Malaysia yang ditahan kerana didakwa menceroboh di kementerian hal ehwal luar Singapura pada Isnin lepas, ditahan reman di Institut Kesihatan Mental di sini untuk penilaian psikiatrik.

Ketika mengesahkan perkara ini, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Datuk Husni Zai Yaacob memberitahu Bernama beliau akan bertemu ibu bapa wanita berusia 28 tahun itu Khamis.

Ibu bapa wanita itu berada di sini selepas dimaklumkan oleh suruhanjaya tinggi bahawa suspek, yang mempunyai sejarah penyakit mental, kini dalam tahanan pihak berkuasa Singapura.

Jumaat lepas, wanita itu yang berasal dari Kampung Baharu, Bukit Jenun di Pendang, Kedah, didakwa menceroboh Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Singapura.

Selama tiga hari berikutnya, dia hilang tanpa dapat dikesan di republik itu sehinggalah didapati berada di perkarangan kementerian berkenaan.

Husni Zai berkata suruhanjaya tinggi itu akan terus memantau keadaan dan menyediakan bantuan konsular yang perlu bagi memastikan hak dan kesejahteraan wanita itu dilindungi. - BERNAMA

Artikel Lain