suria

MB Tidak Gugurkan Azmin, Jelas Anwar

KUALA LUMPUR: Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan yang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak pernah memberikan arahan untuk menggugurkan Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Malah, Anwar berkata, keputusan itu juga tidak dibuat atas arahan Abdul Khalid seperti yang didakwa pelbagai pihak.

"Saya dah bincang dengan Khalid dan beliau kata tak mengarahkan (Azmin digugurkan) sama sekali. Melihat kepada kes ini, pengurus besar yang tulis surat, menteri besar tidak ada sebut sedemikian dan tidak ada mengeluarkan arahan berbuat demikian.

"Walaupun ada mesyuarat Exco, pengurus besar syarikat tak boleh menulis surat tanpa arahan dari kerajaan negeri mengenai pengguguran mana-mana ahli lembaga pengarah itu. Arahan hanya boleh dikeluarkan oleh tuan punya syarikat atau setiausaha syarikat, bukan pengurus besar syarikat," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Abdul Khalid yang dilaporkan mengumumkan yang pengguguran Azmin dari jawatan itu masih dikekalkan.

Sebelum ini, Anwar dilihat menyebelahi Azmin dengan berkata pengguguran itu tidak sah mengikut prosedur sebelum tampil dengan kenyataan mempertahankan Abdul Khalid pada Rabu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain