suria

Anwar Pertahan 'flash mob' Sumbat Kangkung Ke Mulut PM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang menyumbat kangkung ke mulut patung menyerupai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah, beliau turut yakin insiden itu tidak akan mencetuskan ketegangan kaum seperti tragedi 13 Mei 1969.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata, tindakan Lee itu bukan bertujuan menghina perdana menteri, oleh itu beliau tidak perlu memohon maaf.

"Saya menafikan ia bertujuan menyakiti atau menghina perdana menteri. Beliau hanya nak sampaikan mesej tentang derita yang dilalui rakyat pada hari ini" katanya pada sidang media selepas mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, Rabu.

Menurutnya, kejadian itu berkait rapat dengan masalah ekonomi dan kenaikan harga barang yang perlu dihadapi rakyat pada hari ini.

Pada 15 Januari lalu, Lee mengetuai 'flash mob' kangkung di Pulau Pinang dan bertindak menyumbat sayur itu ke dalam mulut patung menyerupai Najib.

Tindakan tersebut turut membangkitkan kemarahan Umno Pulau Pinang yang kemudiannya mengadakan demonstrasi di negeri itu serta mengancam akan melakukan rusuhan kaum kedua.

Pada Selasa, Lee menegaskan beliau tidak akan memohon maaf atas perbuatannya menyuapkan kangkung ke dalam mulut patung menyerupai perdana menteri sebagaimana digesa Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Beliau sekali lagi mengulangi tindakan itu merupakan cara untuk menagih keprihatinan Najib supaya memahami kesusahan rakyat yang tertekan dengan kenaikan harga barang dan tidak bertujuan menghina sesiapa.

“Saya tidak akan tunduk kepada kenyataan perkauman dan keganasan Umno. Mereka adalah pencetus kepada apa yang berlaku baru-baru ini," kata Lee.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain