suria

Premium Insurans Am Naik 6.6 Peratus Kepada RM12.42 Bilion Pada Suku Ketiga 2013

KUALA LUMPUR: Industri insurans am mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.6 peratus dalam premium kasar kepada RM12.42 bilion pada suku ketiga 2013 berbanding RM11.65 bilion pada tempoh yang sama pada 2012, demikian menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

Pengerusi PIAM Chua Seck Guan berkata pertumbuhan berkenaan berpunca daripada perkembangan berterusan industri insurans am, peningkatan sumbangan daripada sektor insurans motor, serta pengurusan risiko dan amalan perniagaan dalam industri yang bertambah baik.

"Sektor insurans motor menyaksikan peningkatan yang baik, sebanyak 9.4 peratus dalam premium kasar, manakala insurans kebakaran meningkat sebanyak tujuh peratus. Begitu juga dengan insurans perubatan dan kesihatan yang kedua-duanya menyaksikan sedikit peningkatan sebanyak 5.4 peratus," kata beliau dalam satu kenyataan Selasa.

Beliau berkata tuntutan bersih keseluruhan nisbah tertanggung sebanyak 58.7 peratus dalam tempoh dalam kajian, berbanding dengan 58.8 peratus pada tempoh yang sama yang tahun lalu.

Nisbah kecukupan modal bagi industri insurans adalah sebanyak 220.7 peratus, melebihi minimum statutori sebanyak 130 peratus dengan penampan modal sebanyak RM22.9 bilion, katanya.

Beliau berkata jumlah aset industri insurans am bagi sembilan bulan pertama 2013 adalah sebanyak RM26.52 bilion berbanding RM24.19 bilion dalam tempoh yang sama pada 2012.

Mengenai prospek, beliau berkata industri itu bersedia untuk mengalami pertumbuhan yang stabil pada 2014 disokong permintaan domestik yang kukuh, pertumbuhan organik, pengenalan lebih banyak produk baharu dan inovatif serta saluran pengedaran yang lebih luas.

Memetik laporan Fitch Rating Agency baru-baru ini, Chua berkata permintaan bagi produk insurans berkemungkinan terus berkembang dalam tempoh terdekat kerana penggunaan persendirian dan pendapatan boleh guna meningkat dengan kukuh.

"Industri menjangka insurans motor sekali lagi akan menjadi sektor yang terpantas berkembang tahun ini berikutan pemulihan dalam jualan kenderaan.

"Kami tentunya berharap prestasi yang lebih baik dalam sektor automotif yang lebih luas kerana ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada industri insurans am, tetapi juga akan membantu meningkatkan aktiviti hiliran perniagaan berkaitan automotif, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana," katanya.

Chua berkata beberapa bidang pertumbuhan penting yang lain adalah dalam insurans perubatan dan kesihatan, serta insurans berkaitan liabiliti dan bencana setelah pendapatan peribadi boleh guna meningkat akan merangsang permintaan yang lebih kukuh untuk produk asurans peribadi dan perubatan.

"Disebabkan oleh peningkatan dalam bencana alam berkaitan cuaca seperti banjir pada tahun lepas, industri ini meramalkan penekanan yang lebih diberikan oleh individu dan perniagaan terhadap insurans sebagai satu cara alat pengurusan risiko bencana," katanya.

Beliau berkata PIAM juga sedang mengkaji usaha untuk mendidik orang ramai tentang bagaimana untuk menggunakan insurans sebagai alat pengurusan risiko yang berkesan.

"Perlindungan insurans yang mencukupi boleh menyelamatkan mereka daripada kemusnahan kewangan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain