suria

Transformasi Pendidikan Beri Kesan Positif Masalah Disiplin

JERANTUT: Transformasi yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara terbukti memberi kesan positif terhadap masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah, kata Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Datuk Mazlan Mohamad.

Beliau berkata menerusi pelbagai program dan kaedah termasuk pelaksanaan Sistem Kawalan Disiplin Murid atau e-Disiplin yang dilancarkan sejak tahun 2009 itu menyaksikan masalah disiplin pelajar turun 0.2 peratus setiap tahun.

"Dalam program pendidikan kami mempunyai petugas khas mengenai kawalan disiplin dan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) (yang memasatikan) umpamanya peratusan yang perlu kita turunkan setiap tahun.

"Dengan adanya bantuan dan bimbingan melalui pasukan petugas khas serta kerjasama ibu bapa, guru dan pelbagai pihak, nampaknya memang pada setiap tahun menurun dari segi peratusan atau bilangan yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pembangunan Disiplin Murid sekolah-sekolah dalam Rancangan Tanah Felda di Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Pendidikan Pertanian Tun Razak, Sungai Tekam di sini Isnin.

Beliau berkata program pembangunan e-Disiplin yang dilaksanakan amat signifikan dalam membantu melestarikan persekitaran pendidikan di negara ini khususnya di sekolah-sekolah di rancangan Felda.

Ssistem pengurusan disiplin murid secara dalam talian berkonsepkan pemarkahan merit dan demerit itu, merupakan manifestasi komitmen dan kerjasama erat Kementerian Pendidikan dengan pelbagai pihak dalam usaha memantapkan disiplin dan mengukuh jati diri murid, kata Mazlan.

Katanya pihak kementerian juga sedang membangunkan Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) yang akan memasukkan semua aplikasi yang sedang diguna pakai di sekolah-sekolah untuk disepadukan dalam satu sistem aplikasi.

Kementerian berharap aplikasi e-Disiplin yang disepadukan dengan SPS itu dapat melahirkan pelajar yang lebih berkualiti dan berdisplin tinggi, katanya. BERNAMA

Artikel Lain