suria

Presiden dan CEO SP Setia Letak Jawatan, Diganti COO Sedia Ada

KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Bhd Tan Sri Liew Kee Sin, akan meletak jawatan yang disandangnya itu pada 30 April, 2014.

SP Setia melantik Datuk Voon Tin Yow, Ketua Pegawai Operasi sedia ada sebagai Pemangku Presiden dan CEO syarikat mulai 1 Mei, 2014 hingga 30 April l April 30, 2015.

Beliau dibantu oleh Datuk Khor Chap Jen, yang juga Naib Presiden Eksekutif Kumpulan sebagai Pemangku Timbalan Presiden untuk tempoh yang sama.

Dalam kenyataan di sini hari ini, SP Setia berkata Ketua Pegawai Kewangannya Datuk Teow Leong Seng akan bertugas sehingga 21 Julai, 2014, manakala Tan Sri Lee Lam Thye pada Isnin meletak jawatan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

Lee bagaimanapun memberi jaminan kepada SP Setia mengenai kesediaannya untuk kekal sebagai Pengerusi Yayasan SP Setia selagi khidmatnya masih diperlukan

Pengerusi SP Setia Bhd Tun Zaki Tun Azmi berkata: "Walaupun lembaga pengarah sedih untuk melepaskan Tan Sri Liew, Datuk Teow dan Tan Sri Lee, SP Setia yakin bahawa Kumpulan ini akan terus berada dalam pengurusan mantap Datuk Voon dan Datuk Khor.

"Pelantikan Datuk Voon dan Datuk Khor sebagai Pemangku Presiden dan CEO dan Pemangku Timbalan Presiden adalah sejajar dengan rancangan peralihan pengurusan yang diluluskan oleh SP Setia pada Mac 2013.

"Kedua-dua mereka menyertai Kumpulan ini sejak 1996 dan telah memberi sumbangan besar ke arah pertumbuhan hebat yang dicapai oleh SP Setia sepanjang 18 tahun lalu," katanya.

"Dalam tempoh setahun ini pihak lembaga pengarah bercadang mendapatkan pandangan Permodalan Nasional Bhd (PNB) sebelum terma dan syarat pelantikan dipersetujui dan dimuktamadkan dengan pengganti yang dikenal pasti.

"Sebagai pemegang saham terbesar dengan menguasai lebih 60 peratus saham SP Setia, pegawai yang memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden mesti mendapat sokongan padu PNB," kata Zaki.

Di bawah kepimpinan Liew, SP Setia meraih jualan RM8.24 bilion pada tahun kewangan 2013, hampir dua kali ganda jualan dicatat tahun kewangan sebelumnya.

Pada 31 Okt, 2013 ia mempunyai RM9.6 bilion jualan belum dikutip dengan bayaran dijangka diperoleh dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Kumpulan itu mempunyai 4,782 ekar (1935 ha) kawasan tanah belum dibangunkan bernilai RM102 bilion dalam Nilai Pembangunan Kasar dengan kepentingan SP Setia sebanyak RM71 bilion. BERNAMA

Artikel Lain