suria

Penahanan Tanpa Bicara Pasangan Malaysia Di Sweden Dikecam

PETALING JAYA: Banyak pihak mengecam tindakan menahan selama lebih sebulan pasangan Malaysia di Sweden kerana didakwa memukul tangan salah seorang anak mereka.

Penahanan itu mengakibatkan keempat-empat anak pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal kini dipisahkan daripada jagaan dan ditempatkan bersama keluarga angkat berlainan agama.

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, walaupun undang-undang Sweden perlu dihormati terutamanya keperluan melindungi keselamatan kanak-kanak, namun tindakan memisahkan keluarga tersebut sukar diterima lebih-lebih lagi hanya disebabkan kesalahan kecil.

"Kami menggesa kerajaan supaya mencari saluran yang sesuai untuk menjamin ibu bapa berkenaan dan agar pihak berkuasa Sweden menjalankan perbicaraan secepat mungkin," katanya pada Ahad.

Ahli Parlimen Kota Belud daripada Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, walaupun Malaysia mengakui undang-undang Sweden terhadap penderaan kanak-kanak, namun prosedur berkaitan dengan penyiasatan, tahanan dan penafian akses oleh ahli keluarga perlu diberi perhatian.

"Tindakan pihak berkuasa Sweden memandang serius mengenai penderaan kanak-kanak adalah sangat terpuji. Walau bagaimanapun mereka mesti memahami perbezaan antara penderaan dan mengajar anak-anak," katanya.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), James Nayagam berkata tempoh lanjutan tahanan tanpa dijatuhi hukuman adalah bertentangan dengan hak asasi manusia.

Selain itu Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng berkata, penahanan selama sebulan tanpa hukuman tidak sepatutnya berlaku.

Sementara itu Ahli Parlimen Parit Buntar daripada PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pasangan itu perlu dikenakan tindakan secepat mungkin jika didapati bersalah.

Artikel Lain