suria

Pegawai Tinggi PKNS Dipecat

Othman Omar
Othman Omar

PETALING JAYA: Dua pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berada di tengah-tengah kontroversi pengguguran Mohamed Azmin Ali daripada badan itu digugurkan daripada jawatan masing-masing berkuat-kuasa serta merta.

Menurut sumber tertinggi, Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek sudah dimaklumkan mengenai pertukaran jawatan masing-masing.

Difahamkan langkah itu dibuat berdasarkan arahan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berada di bawah tekanan bagi menjelaskan mengenai pengguguran Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada jawatan ahli lembaga pengarah PKNS.

Abdul Khalid yang sebelum ini menyalahkan PKNS mengenai pengguguran Mohamed Azmin dijadual mengadakan pertemuan dengan kedua-dua individu berkenaan pada Isnin.

Lembaga Pengarah PKNS di jadual akan bermesyuarat hari ini dan Abdul Khalid dijangka hadir.

Isu pengguguran Mohamed Azmin menjadi hangat apabila kerajaan negeri dan PKNS menuding jari antara satu sama lain malah Abdul Khalid pula menyatakan hanya mahu memberikan penjelasan setelah berjumpa dengan pengurusan perbadanan itu pada Isnin.

Pada Sabtu, Abdul Khalid menafikan dakwaan beliau terlibat dalam membuat keputusan menggugurkan Mohamed Azmin dan menjelaskan perkara itu dicadangkan oleh Othman yang mahu menamatkan khidmat Ahli Parlimen Gombak itu pada penghujung bulan ini.

Bagaimanapun kenyataan Menteri Besar itu disangkal oleh Norita yang memaklumkan kuasa melantik Anggota Lembaga Pengarah adalah di tangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Abdul Khalid dan bukan Pengurus Besar selaras dengan klausa 4(1) Enakmen Penubuhan PKNS.

Norita berkata, pengguguran Azmin itu juga disahkan oleh MMKN pada Disember lalu.

Artikel Lain