suria

Lima Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Tembak Premis Di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Polis Sabah telah menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian menembak dan merosakkan 46 premis di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu pada malam 10 dan 11 Jan lalu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Beliau berkata kesemua lelaki berumur dalam lingkungan 30an itu ditahan pasukan khas yang menjalankan 'Ops Cermin' bagi menyiasat insiden itu.

Katanya dua daripada lima lelaki itu telah dibebaskan manakala tiga lagi masih ditahan reman.

"Kita juga telah merampas satu 'airgun' (senapang angin)...Pihak polis memandang berat kes seumpama ini. Ekoran kejadian ini, kita telah tubuh pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah SAC Omar Mammah," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Menurut Hamza pada mulanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, namun berdasarkan siasatan, pihaknya mengklasifikasikan semula kes itu di bawah Seksyen 32 (2) Akta Senjata Api 1960.

"Saya amat tertarik dengan kes ini kerana jika kita lihat, dia macam mempunyai satu cara nak datangkan kegusaran kepada masyarakat. Dia bermula (menembak premis) di Inanam, masuk ke Gaya Street, masuk ke kawasan Wawasan Plaza dan Times Square, kemudian dia masuk ke Luyang, ke Damai dan masuk ke Penampang," katanya.

Hamza berkata polis akan menyiasat kes berkenaan dari semua sudut termasuk kemungkinan-kemungkinan lain dan tidak akan menghadkan skop siasatan kepada kanak-kanak nakal seperti andaian kebanyakan orang selama ini.

"Kita akan lihat sama ada ia dilakukan budak-budak nakal, sama ada dilakukan kumpulan-kumpulan tertentu dan individu tertentu yang mempunyai kepentingan tertentu," katanya.

Hamza juga menegur pihak media kerana tidak merujuk kepada pihak polis sebelum menyiarkan gambar-gambar yang kononnya adalah imej suspek yang terlibat dalam insiden tembak premis berkenaan.

Katanya pihaknya telah memeriksa gambar-gambar berkenaan dan mendapati imej dan kejadian itu dirakam di luar Sabah dan telah dimuat turun pihak yang mempunyai motif tertentu.

"Saya telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu untuk membuka siasatan dan kita akan mendakwa mereka yang 'upload' gambar-gambar berkenaan dalam whatsApp ataupun mana-mana laman sosial. Kita telah mulakan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Multimedia," katanya. BERNAMA

Artikel Lain