suria

APMM Selamatkan Kapal Angkut Barang Rosak Di Pulau Mataking

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya menyelamatkan sebuah kapal pengangkut barang membawa muatan 100 tan rotan yang dilaporkan rosak di perairan Pulau Mataking dekat sini awal pagi Jumaat.

Pengarah Operasi Daerah Maritim, Tawau Komander Maritim Azman Shamsudin berkata, kapal itu berjaya ditemui kira-kira 3.30 petang di kawasan perairan Pulau Ligitan selepas enam jam pihaknya menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Dasar laut yang terlalu dalam menyebabkan kapal itu tidak boleh melepaskan sauh dan telah dihanyutkan sehingga ke kawasan perairan Pulau Ligitan menyebabkan pihak kami sukar untuk menjejaki kapal tersebut.

"Pemeriksaan ke atas kapal itu mendapati juragan dan lima anak kapal berada dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata, kapal pengangkut barang itu dilaporkan rosak di perairan Pulau Mataking ketika dalam perjalanan dari negara jiran ke negara ini.

Beliau berkata, kerosakan pada kapal itu berjaya dibaiki dan kapal itu meneruskan pelayaran ke Pelabuhan Tawau pada pukul 4.30 petang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain