suria

Mengurangkan Jumlah Bil Bulanan Elektrik Bukan Mustahil

Asfaazam (kanan) dan Foon menunjukkan carta purata penggunaan tenaga isi rumah di Malaysia.
Asfaazam (kanan) dan Foon menunjukkan carta purata penggunaan tenaga isi rumah di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Mengurangkan jumlah bil elektrik bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan pengguna walaupun kerajaan telah menaikkan tarif elektrik berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Penolong Perwakilan Residen Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Asfaazam Kasbani berkata, selain mengambil langkah lebih berjimat, pengguna boleh mengurangkan kesan kenaikan tarif elektrik ini dengan mengubah gaya hidup mereka, menggunakan kecekapan penggunaan tenaga.

"Menjimatkan tenaga dan kecekapan penggunaan tenaga bermaksud kita mengubah cara hidup. Pengguna harus ingat sebarang pembaziran di rumah atau di pejabat bermaksud pengguna membazirkan wang mereka.

"Penjimatan tenaga atau kecekapan tenaga tidak pula bermaksud pengguna perlu tinggal di dalam gua...ia bermaksud sama ada tenaga yang digunakan itu benar-benar diperlukan atau tidak dan sejauh mana tenaga digunakan secara efisyen," katanya pada satu sesi taklimat dengan pihak media mengenai bagaimana pengguna perlu berdepan kenaikan tarif elektrik di sini, Rabu.

Beliau berkata, pengguna tidak perlu terlalu bimbang dengan kenaikan tarif elektrik yang diumumkan sehingga menjejaskan kehidupan dan keselesaan sedia ada.

Sebaliknya, beliau berkata pengguna boleh menjalani hidup seperti biasa.

"Mengubah gaya hidup bermaksud mengambil langkah dan sikap lebih prihatin terhadap jumlah tenaga yang digunakan, jumlah pembaziran, serta bil elektrik yang bakal sampai di rumah mereka tidak lama lagi.

"Pastikan suis ditutup jika sesuatu peralatan elektrik itu tidak digunakan.

"Bagi penggunaan lampu, pastikan jumlah lampu yang dipasang sesuai dengan keperluan cahaya yang diperlukan untuk menjalankan sesuatu kerja atau aktiviti," katanya.

Beliau menambah, pengguna juga boleh mengenal pasti alat atau perkakasan elektrik yang paling banyak menggunakan tenaga.

"Pengguna perlu berubah. Jangan takut untuk bereksperimen dan meluangkan masa mengkaji peralatan mana yang paling banyak menyumbang kepada bil.

"Dengan kajian, pengguna akan tahu bahawa mengecas telefon bimbit misalnya tidak menggunakan banyak tenaga, berbanding menggunakan 'air-cond' atau pemanas," katanya sambil menambah banyak pembaziran di kalangan rakyat Malaysia berlaku dalam penggunaan pendingin hawa.

Beliau menambah, konsep kecekapan penggunaan tenaga bukan perkara baru dan ia telah menjadi perkara biasa dalam kehidupan manusia sejagat.

"Apabila tarif elektrik naik, apa yang perlu difahami pengguna ialah butiran-butiran penggunaan yang terdapat dalam bil.

"Pengguna perlu bertanggungjawab terhadap penggunaan dan bil mereka. Jika terdapat keraguan, mereka boleh menghubungi TNB (Tenaga Nasional Berhad) untuk mendapatkan kepastian,"katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam) Foon Weng Lian berkata, tiada kos yang perlu dibayar pengguna untuk menjimatkan penggunaan tenaga bagi mengelakkan mereka membayar lebih untuk bil elektrik.

"Ia adalah 'zero cost' atau tidak memerlukan pengguna membayar jumlah tertentu.

"Anda hanya perlu bangun, berjalan sedikit untuk menutup suis atau lampu yang tidak digunakan," katanya.

Katanya, pengguna juga boleh membuat analisa, melakukan pengiraan sendiri dan melakukan audit terhadap peralatan dan jumlah penggunaan yang digunakan setiap bulan.

"Melalui praktis ini mereka akan tahu di mana berlakunya pembaziran dan apa yang patut dikurangkan," katanya.

Disember lalu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengumumkan kenaikan tarif elektrik dinaikkan 15 peratus bagi Semenanjung Malaysia dan 17 peratus Sabah dan Labuan.

Artikel Lain