suria

Kadar Jenayah Pecah Rumah Turun 6.5%

KUALA TERENGGANU: Kadar indeks jenayah pecah rumah di seluruh negara mencatat penurunan sebanyak 6.5 peratus sepanjang Januari hingga Disember lepas, berbanding tempoh sama pada 2012.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ), Datuk Wira Ayub Yaakob berkata, pada tahun 2012 sebanyak 24,939 kes pecah rumah dilaporkan di seluruh negara berbanding 23,323 kes yang dicatatkan pada tahun lalu.

Katanya, penurunan indeks itu adalah sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah tersebut sehingga tahun 2015 melalui program transformasi negara.

"Menerusi bidang keberhasilan negara bagi tempoh tiga tahun bermula 2013 sasaran kita adalah untuk mengurangkan kadar jenayah pecah rumah dan kita berjaya mengurangkan sebanyak 1,616 kes pada tahun lalu.

"Bagi memastikan sasaran itu dicapai kita akan menggerakan Unit Ronda Bermotosikal (URB) dengan lebih meluas di seluruh negara dan kita yakin strategi itu berkesan bagi mengurangkan jenayah," katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Komandan Kor Suksis kepada Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Yahaya Ibrahim, di sini Khamis.

Ayub berkata, Terengganu mencapai tahap membanggakan selepas berjaya mencatat penurunan jenayah pecah rumah sebanyak 36.1 peratus pada tahun lalu sekali gus membolehkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu berada di tangga kedua dalam usaha mengurangkan jenayah berkenaan.

"Ini satu kejayaan yang membangggakan, pada tahun 2012 sebanyak 529 kes pecah rumah dilaporkan berbanding tahun lalu hanya 338 kes iaitu penurunan sebanyak 191 kes," katanya.

Pada majlis itu, Yahya turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga wira negara Allahyarham ASP Zulkifli Mamat yang terkorban ketika insiden pencerobohan pengganas, di Lahad Datu pada Februari 2013.

Ibu Allahyarham, Katijah Ismail,64, berkata walaupun hampir setahun peristiwa itu telah berlalu namun pelbagai pihak tidak pernah putus menyalurkan sumbangan dan mengiktiraf pengorbanan anaknya itu.

"Biarpun dia pergi meninggalkan kami, namun kami berbangga dengannya yang berjuang demi pertahankan negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain