suria

Pimpinan Harus Kolektif Tolak Sebarang Agenda Ke Arah Perpecahan

MUNGKIN ada di kalangan pembaca yang tidak bersetuju dengan kumpulan seperti Perkasa dan Isma.

Tetapi bagi saya, kedua-dua kumpulan ini boleh dipuji kerana kejayaan mereka menjalankan kempen yang amat berkesan untuk mencapai matlamat masing-masing.

Hari ini, kedua-dua kumpulan ini tidak boleh ditolak ketepi begitu sahaja apabila kita bercakap mengenai perkembangan semasa.

Pertubuhan Pribumi Perkasa ditubuhkan oleh Datuk Ibrahim Ali sejurus selepas pilihan raya umum pada tahun 2008.

Saya rasa tidak perlu saya perkenalkan Perkasa di sini kerana kebanyakan pembaca sudah mengenali mereka.

Kumpulan ini memperjuangkan hak-hak bangsa Melayu.

Isma pula ialah Ikatan Muslimin Malaysia.

Bagi mereka yang arif mengenai sejarah kumpulan-kumpulan Muslim di Malaysia, sudah pasti mereka tahu bahawa persaingan antara kumpulan-kumpulan ini agak sengit juga.

Ia berkurang sedikit dalam beberapa tahun kebelakangan ini sahaja.

Isma adalah salah satu daripada kumpulan-kumpulan ini dan ramai yang mendakwa bahawa Isma bermula sebagai kumpulan serpihan daripada Jamaah Islah Malaysia, iaitu satu lagi kumpulan Islam yang kini dikenali sebagai Ikram.

Jika kita mahu menelusuri sejarah penubuhan Isma, ia akan mengambil ruang yang panjang.

Cukuplah untuk kita katakan di sini bahawa Isma adalah salah satu daripada beberapa kumpulan di Malaysia yang mendakwa mendapat inspirasi daripada kumpulan Ikhwan Muslimin.

Latar belakang kedua-dua kumpulan ini memang berbeza.

Tetapi jika dilihat hasil kerja mereka, kita tiak boleh menafikan bahawa mereka telah menjadi kumpulan pendesak yang agak berpengaruh juga.

Dari sudut politik kepartian, kedua-dua kumpulan mendakwa mereka tidak bekerja untuk mana-mana parti politik. Saya percaya dengan dakwaan ini.

Walaupun ramai rakan saya yang cuba mengaitkan pertubuhan-pertubuhan ini dengan Umno tetapi saya tidak melihat bukti kukuh bahawa mereka bekerja untuk Umno.

Bagaimanapun, saya rasa agak mustahil bahawa kumpulan ini menyokong parti yang selain daripada Umno.

Dalam Barisan Nasional (BN) hanya Umno sahaja yang mungkin boleh menjadi batu loncatan untuk kedua-dua kumpulan ini.

Dan saya rasa tidak mungkin juga mereka menyokong mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

Maka, apabila kita bercakap mengenai politik kepartian, hanya Umno sahaja yang mungkin disokong oleh kumpulan-kumpulan ini.

Walaupun mungkin tiada hubungan rasmi, jika dilihat dengan lebih teliti, kedua-dua kumpulan ini sebenarnya mempunyai cengkaman yang agak kuat juga ke atas Umno.

Secara peribadi, saya sebenarnya merasakan tindakan kumpulan-kumpulan ini boleh menjejaskan perpaduan masyarakat.

Tetapi untuk tujuan artikel ini, penilaian saya terhadap agenda mereka adalah tidak penting.

Yang penting, strategi mereka amat bagus sehingga pengaruh mereka terhadap Umno sukar dinafikan.

Mereka juga lantang bercakap dalam perkara-perkara yang besar.

Daripada isu PPSMI, Model Baru Ekonomi, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, pertelingkahan mengenai kalimah Allah, rampasan kitab Injil, aktiviti Syiah di Malaysia, isu ISA, dan banyak lagi, suara mereka sentiasa kedengaran.

Malahan, suara mereka sukar ditolak oleh para pembuat dasar.

Para penggerak masyarakat sivil di Malaysia perlu belajar daripada strategi Perkasa dan Isma untuk mempengaruhi wacana semasa.

Walaubagaimanapun, persoalan yang masih menghantui benak saya ialah bagaimana sebuah pergerakan yang masih muda dan baru seperti mereka memiliki suara dan pengaruh yang begitu besar?

Saya berpendapat, jawapannya terletak di tangan Umno itu sendiri.

Umno wajar menjelaskan kenapa ini berlaku.

Jika dilihat beberapa bulan yang lalu, banyak peristiwa yang berlaku yang boleh melemahkan keharmonian kehidupan bermasyarakat pelbagai kaum di negara kita.

Padahal sekarang lah masanya kita memerlukan setiap individu, terutamanya Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak dan anggota kabinetnya, untuk sama-sama mengecam semua tindakan provokasi yang boleh merosakkan keharmonian ini.

Saya rasa saya perlu lebih spesifik. Oleh kerana suara-suara agresif ini kebanyakannya datang daripada kumpulan yang dilihat sebagai “keluarga besar” Umno, tanggungjawab yang agak besar terpundak di bahu para pemimpin tertinggi Umno.

Mereka lah yang berkewajipan untuk mengecam tindakan provokasi dan mereka juga mesti menjauhkan parti tersebut daripada suara-suara sumbang ini.

Najib perlu membuktikan kepimpinan beliau dengan cara membuat penolakan terbuka terhadap individu dan kumpulan yang keterlaluan.

Slogan 1Malaysia Najib adalah slogan penyatuan.

Visi Najib jelas baik untuk negara.

Jadi saya rasa tidak mungkin beliau bersetuju dengan sebarang agenda ke arah perpecahan.

> Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.ideas.org.my)

Artikel Berikut

Artikel Lain