suria

Dr Mohd Daud Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 2014

Dr Mohd Daud menerima anugerah Tokoh Perdana sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H/2014M di Masjid Putra, Putrajaya pada Selasa. - Foto MOHD SAHAR MISNI/The Star
Dr Mohd Daud menerima anugerah Tokoh Perdana sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H/2014M di Masjid Putra, Putrajaya pada Selasa. - Foto MOHD SAHAR MISNI/The Star

PUTRAJAYA: Pengerusi Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia Dr Mohd Daud Abu Bakar dinobatkan sebagai penerima Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 1435 Hijrah/2014.

Beliau menerima RM50,000, plak, sijil dan satu set Tafsir Fi Zilal Al-Quran.

Mohd Daud, 50, anak kelahiran Alor Setar, Kedah merupakan pengasas Amani Advisors Sdn Bhd iaitu syarikat kewangan Islam dengan beliau turut disenaraikan dalam kelompok 12 orang di dunia yang paling dihormati dalam industri kewangan Islama masa kini.

"Pasti anugerah ini memberikan motivasi kepada saya, keluarga serta rakan sekerja. Kami mempunyai 10 syarikat antarabangsa dan akan meluaskan syarikat yang berasaskan Malaysia ini ke tempat-tempat lain untuk membawa mesej risalah kewangan Islam daripada segi perkhidmatan kewangan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah itu daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Masjid Putra di sini, Selasa.

Mohd Daud berkata anugerah itu juga adalah satu pengiktirafan kepada sumbangannya dalam bidang usahawan syariah demi menjadikan syariah sebagai bidang kerja yang baharu dalam konteks Malaysia dan global.

Selain itu, lapan lagi individu turut menerima Anugerah Maulidur Rasul termasuk Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam, 20, penuntut Malaysia yang meninggal dunia akibat dilanggar ambulans ketika melintas jalan di Istanbul, Turki, 2 November lepas.

Bapa Allahyarham, Ahmad Azam Abdul Rahman, 54, yang menerima anugerah itu bagi pihak anak lelaki tunggalnya itu berharap allahyarham akan menjadi teladan kepada generasi muda dalam menyebarkan perjuangan Islam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana menghargai Ahmad Ammar dalam memperjuangkan Islam dan menurutnya beliau akan memanfaatkan wang anugerah RM20,000 untuk kebajikan allahyarham serta kos berulang-alik ke Turki untuk menyelesaikan kes kemalangan itu.

"(Jenazah) Ahmad Ammar telah ditempatkan di kawasan pemakaman yang sangat mulia di Turki. Kita tiada nak saman atau apa-apa, cuma undang-undang Turki, apabila membabitkan kemalangan...membabitkan kenderaan kerajaan...kena masuk mahkamah".

Ahmad Azam berkata wang itu juga akan digunakan untuk membina pusara kekal anaknya di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn, yang menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi, auliya', panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di Turki.

Turut menerima angerah Maulidur Rasul ialah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib yang menyifatkan anugerah itu sebagai tanda penghargaan kepada para perajurit yang terkorban dalam tragedi pencerobohan di Lahad Datu serta anggota-anggota keselamatan yang lain.

"Keamanan dan perpaduan yang dikecapi selama ini wajar disyukuri dengan memelihara keharmonian negara dan menjaga hubungan sesama rakyat," katanya.

Penerima lain ialah bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Faiza Tamby Chik, bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang juga imam pertama Masjid Putra, Tan Sri Abdul Kader Talip, penyampai radio Salam FM, kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohamad Azimi Kassim.

Bekas Duta Besar Malaysia ke Mesir dari tahun 2005 hingga 2009 Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, Felo Utama Bidang Falsafah Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Zakaria Stapa dan bekas Pengarah Bahagian Latihan Jakim serta kaunselor Masjid Negara Datin Rusmiati Harun.

Lapan penerima Anugerah Maulidur Rasul itu, masing-masing menerima RM20,000 beserta plak, sijil, dan hadiah iringan.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain