suria

Sultan Selangor Berkenan Lantik Dua Anggota Mais Baru

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin berkenan melantik dan menerima menghadap dua anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang baharu dalam istiadat di Istana Bukit Kayangan di sini.

Baginda turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan jawatan itu kepada Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman selaku Penasihat Undang-undang Negeri Selangor dan Ahmad Zaharin Mohd Saad sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkuatkuasa 1 Januari lepas sehingga 31 Disember depan.

Nik Suhaimi mengangkat sumpah jawatan di hadapan Baginda bagi menggantikan Datin Paduka Zauyah Be T. Loth Khan manakala Ahmad Zaharin pula mengangkat sumpah jawatan bagi menggantikan Datuk Marzuki Hussin, yang tamat tempoh perkhidmatan.

Pelantikan kedua-dua anggota baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan keanggotaan Mais sebanyak 20 orang bagi sesi 2012-2014 dengan dipengerusikan Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Turut hadir menyaksikan istiadat pelantikan itu ialah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa, anggota-anggota Dewan Diraja dan ketua-ketua agensi kerajaan negeri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain