suria

Pasukan Petugas Khas Siasat 60 Anggota Polis Terlibat Ubah Wang Haram, Rasuah

KUALA LUMPUR: Satu pasukan petugas khas ditubuhkan di Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat 60 anggota polis yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata pasukan petugas itu, yang ditubuhkan oleh SPRM dan agensi-agensi lain seperti Bank Negara Malaysia, dipertanggungjawab untuk menyiasat kes itu.

"Setiap kali kami mengendalikan kes berprofil tinggi, kami akan menubuhkan satu pasukan petugas khas. Dan, saya mahu menjelaskan bahawa penyiasatan oleh pasukan petugas khas di Jabatan Peguam Negara melibatkan banyak agensi lain.

"Adalah tidak adil untuk menyatakan hanya SPRM yang berbuat demikian bagi mendapatkan pujian atau sebagainya. Bagi saya, adalah lebih baik memberi kenyataan sewajarnya untuk menjelaskan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Kaji Selidik Penipuan, Sogokan dan Rasuah KPMG 2013 di sini, Isnin.

Abu Kassim berkata dengan penubuhan pasukan petugas khas itu, SPRM berharap dapat memperoleh lebih banyak maklumat berhubung kes itu.

Pada 7 Jan lepas, media melaporkan bahawa aduan seorang anggota polis yang tidak berpuas hati dengan SPRM kira-kira enam bulan lepas, telah membawa kepada penyiasatan terhadap 60 anggota polis yang dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah.

Sementara itu, Abu Kassim enggan mengulas keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan bekas menteri pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy hari ini setelah pihak pendakwaan menarik balik tiga pertuduhannya menipu bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Chan menghadapi tiga pertuduhan menipu Abdullah dengan memperdayakannya (Abdullah) untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna bagi menjalankan pembangunan projek hub penghantaraan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006 bernilai RM1.9 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 4, Blok Utama di Pejabat Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Chan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Abu Kassim berkata SPRM bersedia membantu semua syarikat yang berpejabat di Malaysia untuk membangunkan program kesedaran serta menyediakan modul pencegahan rasuah dan modul pembangunan kapasiti.

"Dengan rasa besar hati, kami menawarkan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebagai sumber untuk latihan modul atau siri program yang boleh dihasilkan mengikut keperluan sesebuah syarikat," katanya.

Beliau berkata MACA telah mendapat pengiktirafan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain