suria

Kong Choy Bebas Tuduhan Menipu Bekas PM Dalam Projek PKFZ

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy pada Isnin dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zamani Abdul Rahim di dalam kamar selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Chan memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kesemua pertuduhan yang dihadapi Chan selepas menghalusi representasi yang dikemukakan anak guamnya.

Beliau berkata pihak pendakwaan juga menarik balik pertuduhan itu selepas mempertimbangkan keterangan saksi dalam kes perbicaraan bekas menteri pengangkutan Tun Ling Liong Sik yang menghadapi pertuduhan menipu kerajaan berhubung projek sama.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Chan, 58, supaya wang jaminannya sebanyak RM1 juta dikembalikan kepadanya.

Sebaik sahaja dimaklumkan oleh Tan mengenai keputusan mahkamah itu, Chan yang berada di galeri awam kelihatan gembira diiringi tepukan gembira penyokongnya sambil mengucapkan tahniah kepada bekas menteri itu.

Selepas keputusan, Chan terus bergegas keluar dari bilik mahkamah.

Pada 25 Oktober tahun lepas, Ling, 70, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada akhir kes pembelaan selepas mahkamah mendengar keterangan saksi-saksi.

Chan pula didakwa terhadap tiga pertuduhan menipu Abdullah dengan memperdayakannya (Abdullah) untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna bagi menjalankan pembangunan projek hub penghantaraan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006 bernilai RM1.9 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 4, Blok Utama di Pejabat Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Chan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain