suria

Bekas Pemimpin PKR Mahu Bentuk Kabinet Bayangan

S. Gobi Krishnan.
S. Gobi Krishnan.

PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Biro Strategi dan Polisi Kebangsaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), S. Gobi Krishnan menubuhkan Parti Generasi Baru (NewGen Party) dan berikrar membentuk sebuah kabinet bayangan, sebaik saja selepas pelancaran rasmi parti itu.

Gobi, yang meninggalkan PKR pada Januari 2013, kini bertindak sebagai setiausaha agung parti itu, berkata formulasi mengenai kabinet alternatif itu tidak menjadi kenyataan pada ketika itu kerana PKR mempunyai agenda berbeza.

"Saya meninggalkan PKR kerana tidak boleh mengubah keadaan dalam parti dengan efektif. Jadi, saya fikir adalah lebih baik untuk melakukannya dengan sendiri," kata Gobi kepada The Star Online.

Beliau berkata, Parti Generasi Baru, yang mensasarkan golongan muda, adalah sebuah parti yang bersifat pelbagai kaum dan bekerjasama dengan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Gobi turut menafikan tidak sehaluan dengan bekas parti yang disertainya dengan berkata, dia hanya mahu mengetengahkan 'standard baru dalam politik' di mana latar belakang pendidikan di kalangan ahlinya menjadi keutamaan.

Salah satu kriteria utama bagi keahlian biasa adalah pemohon harus mempunyai kelayakan pendidikan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu, ahli jawatankuasa dalam Majlis Tertinggi Generasi, perlu memiliki kelayakan pendidikan sekurang-kurangnya diploma.

"Apabila anda menjadi Ahli Parlimen, rakyat mengharapkan anda memiliki kelayakan sarjana tetapi di Malaysia, tiada sebarang kelayakan. Jadi saya terfikir ingin memperkenalkan satu standard dalam politik negara ini.

"Hanya dengan cara itu, barulah kita melantik wakil rakyat daripada memilih sesiapa saya yang tidak berkelayakan," kata Gobi.

Beliau berkata, kesemua ahli baru akan ditapis oleh Ahli Jawatankuasa Penilaian Akademik.

Mengenai kabinet bayangan, Gobi berkata, kesemua 29 ahli jawatankuasa akan dilantik secara automatik sebagai menteri di setiap kementerian dalam kabinet bayangan tersebut.

"Untuk menunjukkan kita serius mentadbir negara ini, kita harus berkebolehan membentuk sebuah kabinet bayangan, yang tidak dilaksanakan dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Parti tersebut yang mensasarkan ahli berusia dari 18 hingga 50 tahun turut membuka peluang kepada golongan profesional muda tanpa sebarang pengalaman dalam arena politik.

Setakat ini, parti tersebut mempunyai 200 ahli di seluruh negara tetapi Gobi berkata, ia akan diperluaskan, terutamanya di Lembah Klang, diikuti Pulau Pinang, Johor, Perak dan Pahang.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti presiden parti itu tetapi berkata, individu terbabit adalah seorang yang amat dikenali tetapi tiada latar belakang politik.

"Pengumuman mengenainya akan dibuat dalam tempoh tiga bulan selepas barisan kepimpinan baharu lengkap," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain