suria

Jumlah Pelaburan Bukti Keyakinan Pelabur Terhadap Keselamatan Di Johor - MB

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bersama Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin (kiri) dan Ketua Polis Johor SDCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (kanan) meletakkan tangan di atas bebola kaca sebagai simbolik merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di Johor Baharu, Ahad. -fotoBERNAMA
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bersama Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin (kiri) dan Ketua Polis Johor SDCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (kanan) meletakkan tangan di atas bebola kaca sebagai simbolik merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di Johor Baharu, Ahad. -fotoBERNAMA

JOHOR BAHARU: Kerajaan negeri Johor menyifatkan penerimaan pelaburan bernilai lebih RM10 bilion sehingga September tahun lepas menunjukkan pelabur asing yakin dengan tahap keselamatan di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peningkatan keyakinan pelabur terhadap soal keselamatan adalah hasil daripada usaha polis mengurangkan kadar jenayah di negeri itu.

Beliau berkata polis Johor berjaya mencatatkan penurunan indeks kadar jenayah di negeri itu bagi enam tahun berturut-turut sejak 2008, sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa keadaan jenayah di negeri itu sangat tinggi dan tidak terkawal.

"Pencapaian Polis Kontinjen Johor wajar diberi pujian dan dihargai oleh masyarakat pelbagai lapisan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini Ahad.

Bagaimanapun, beliau percaya jumlah pelaburan akan meningkat jika usaha membendung jenayah di negeri itu dapat dipertingkatkan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk seri Mohd Bakri Zinin, yang hadir pada majlis itu, berkata sejak 2008, Polis Kontinjen Johor telah mencatakan penurunan sebanyak 9,520 kes.

Pada tahun lepas, sebanyak 1,963 kes dikurangkan berbanding tempoh sama pada tahun sebelum itu, katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah keseluruhan kes jenayah dilaporkan dalam tempoh tersebut.

Mohd Bakri berkata kerjasama antara polis dan masyarakat adalah strategi penting dalam membendung jenayah di negara ini.

Selain melaporkan kejadian jenayah, masyarakat harus juga tampil sebagai saksi bagi pendakwaan sesuatu kes.

Sementara itu, IPD Seri Alam bernilai RM149 juta itu siap dibina pada 2010 dan mula beroperasi pada Mac 2011. Ia menempatkan 769 pegawai dan anggota.

Selain bangunan pentadbiran setinggi tiga tingkat, IPD itu dilengkapi dengan satu blok kuarters pegawai, tiga blok kuarters anggota, padang sasar, dewan, padang bola, taman permainan kanak-kanak, surau, rumah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan sebuah tadika. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain