suria

Perbelanjaan Putrajaya Akan Jadi Tumpuan Pada 2014 - MP Kluang

PETALING JAYA: Semua mata akan tertumpu kepada dasar fiskal Putrajaya memandangkan kenaikan harga mula membebani rakyat, kata Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Beliau berkata dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta lebih banyak pemotongan subsidi dijangka berlaku, persoalan yang timbul ialah mengenai kredibiliti Kerajaan.

"Rakyat akan meletakkan lebih penelitian ke atas perbelanjaan kerajaan dan jika dasar ekonomi difikirkan tidak baik, keadaan itu akhirnya akan memburukkan lagi permintaan domestik," katanya.

Liew, yang memperoleh suara terbanyak dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat DAP baru-baru ini berkata kenaikan harga itu akan memberi kesan kepada banyak pihak.

"Orang ramai akan cuba untuk berjimat, kurang membuat perbelanjaan dan lebih menumpu kepada usaha mendapatkan pendapatan sampingan. Ia akan mengakibatkan pendapatan dalam negeri jatuh apabila kurangnya pembelian berbanding penawaran," katanya.

Beliau berkata, satu-satunya cara bagi kerajaan untuk mengurangkan kesan ke atas orang ramai ialah dengan menghapuskan 'pembaziran' dalam pelbagai sektor serta meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan bukannya memotong subsidi bahan api.

"Saya percaya kerajaan mempunyai hak untuk menaikkan harga petrol tetapi ia hanya harus dilakukan apabila sistem pengangkutan awam dalam negara berfungsi dengan berkesan dan cekap.

"Untuk menyediakan pengangkutan awam yang cekap, ia tidak semestinya memerlukan MRT," katanya merujuk kepada projek kerajaan Persekutuan yang merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi.

"Ini membolehkan lebih ramai pihak melobi bagi mendapatkan kontrak. Namun adakah kita benar-benar menggalakkan orang ramai untuk menaiki bas?

"Jika kita berjaya menggalakkan orang ramai beralih kepada pengangkutan awam, barulah kita boleh bercakap tentang kenaikkan harga petrol," katanya.

Selain kos sara hidup, Liew melihat 2014 sebagai ujian untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai cara beliau mengendalikan 'pelampau' dan NGO-NGO berhaluan kanan yang menjadi penghalang kepada kemakmuran masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

"Apa sahaja yang dilakukan pada tahun ini akhirnya akan memberi kesan kepada negara pada tahun-tahun akan datang. Beliau perlu membuat keputusan sama ada mahu terus mengambil pendekatan sederhana seperti yang digambarkan menerusi slogan 1Malaysia ataupun sebaliknya," katanya.

Liew tidak menolak kemungkinan populariti Barisan Nasional merosot terutamanya di kawasan pinggir bandar pada tahun ini.

Artikel Lain