suria

Hudud: Pelaksanaan Jangan Bermotifkan Politik - Tun Abdul Hamid

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan hukum hudud tidak harus bermotif politik jika mahukan undang-undang itu berjaya dilaksanakan, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Beliau berkata mana-mana pihak yang berhasrat melaksanakannya juga perlu meneliti keadaan sekeliling, antaranya keharmonian pelbagai kaum, dan tidak tergesa-gesa.

Mengambil kira beberapa buah negara yang melaksanakan hukum hudud seperti Pakistan dan Nigeria, Abdul Hamid berkata berdasarkan perkongsian maklumat bersama beberapa kenalannya yang terlibat secara langsung, hukum hudud dianggap tidak atau masih belum diterima sepenuhnya.

"Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Abuja, Nigeria, Ibrahim Bukar memberitahu saya bahawa sistem perundangan syariah telah diperkenalkan lebih kurang 10 tahun dan ia diperkenalkan secara tergesa-gesa dan (ia) lebih kepada keuntungan politik daripada kepentingan dan keperluannya.

"Tambahan lagi idea itu timbul di negeri-negeri dan diperkenalkan tanpa rundingan dan pandangan kerajaan Persekutuan. Tanpa kerajaan Persekutuan, keadilan jenayah tidak boleh ditadbir dengan berkesan," katanya ketika memberi syarahan dalam wacana intelektual bertajuk "Pelaksanaan Hudud di Brunei: Apa Yang Malaysia Boleh Pelajari" di sini, Selasa.

Beliau turut menasihatkan supaya pihak yang hendak melaksanakannya terlebih dahulu melakukan kajian secara menyeluruh dan membuat pelbagai persediaan.

Abdul Hamid berkata Brunei yang mengumumkan untuk melaksanakan hukuman itu sendiri telah melakukan kajian kira-kira 30 tahun dan masih belum selesai serta tidak lagi dilaksanakan.

Sambil membandingkan negara ini dan Brunei, Abdul Hamid berkata negara yang meletakkan kuasa mutlak kepada Sultan itu mempunyai keistimewaan tertentu yang membolehkan undang-undang dipinda.

Dalam sesi soal jawab, Abdul Hamid ditanya mengenai isu larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di Selangor, dan berkata orang Islam di Malaysia perlu mempertahankan hak mereka dalam perkara ini.

Beliau mempersoalkan tujuan pihak paderi di Semenanjung yang bertegas mahu menggunakan kalimah itu bagi merujuk tuhan mereka, walaupun sejak kira-kira 500 tahun dahulu Roman Katolik memasuki Melaka, tidak pernah menggunakannya.

"Bagi saya hanya satu tujuan, iaitu untuk mengaburi mata orang Islam dengan mengatakan kalau kamu datang di gereja kami pun kamu masih beriman dengan Allah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain