suria

Kerajaan Garis Empat Pendekatan Perbaiki Pengurusan Bencana - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Kerajaan menggariskan empat pendekatan untuk memperbaiki dan memperkemaskan pengurusan bencana negara, misalnya banjir, pada masa akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikutan pelaksanaan operasi dalam kejadian banjir awal Disember lepas, beliau berkata masih terdapat ruang untuk agensi kerajaan memperbaiki pengurusan bencana.

Ini termasuk menambah baik sistem amaran awal banjir bagi memastikan maklumat dan amaran dapat disebarkan kepada umum dengan lebih berkesan, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di sini, Jumaat.

Selain itu, katanya pengurusan di pusat pemindahan diperkemaskan seperti penyediaan kemudahan tambahan, misalnya tempat memasak, bekalan air bersih, tandas, ruangan untuk golongan khas, tempat tidur dan tempat beribadah.

Turut diperkemaskan adalah pengurusan stor simpanan stok bekalan makanan dan keperluan lain di pusat pemindahan; selain itu pengurusan aset dan logistik, darat, udara dan air untuk tujuan memindahkan mangsa serta mengagih bekalan makanan dan keperluan lain ke pusat pemindahan.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengemas kini Prosedur Operasi Standard Pengendalian Bencana Banjir bagi menghadapi bencana banjir luar biasa," katanya.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim dan Setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Muhyiddin berkata perkara yang perlu diperbaiki dalam SOP pengurusan bencana banjir tersebut yang melibatkan fasa sebelum, semasa dan selepas banjir juga diputuskan dalam mesyuarat itu.

Ia termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperhalusi pengurusan di pusat pemindahan, mengenal pasti pusat pemindahan yang boleh menampung lebih ramai mangsa dan melihat semula kemudahan di pusat pemindahan yang boleh memberikan keselesaan kepada kumpulan sasar berkeperluan.

Beliau berkata JKM diminta mengkaji jumlah pusat simpanan stok bekalan keperluan terutamanya bagi daerah berisiko banjir, meningkatkan stok bekalan keperluan di stor bekalan apabila dijangka berlakunya banjir luar biasa selain memperbaiki sistem penghantaran ke pusat pemindahan.

"MKN akan mengkaji, memperkemas serta menambah aset pengurusan bencana di agensi penyelamat seperti trak dan bot penyelamat untuk memindahkan mangsa, pesakit serta membekalkan bekalan makanan dan keperluan lain ke pusat pemindahan," katanya.

Bagi perancangan jangka panjang, Muhyiddin berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mengemas kini pemetaan kawasan berisiko banjir di seluruh negara terutamanya di kawasan yang sedang membangun dan bandar.

Selain itu, beliau berkata Rancangan Tebatan Banjir perlu dilihat semula bagi mengurangkan kesan banjir pada masa akan datang.

"JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia akan menambah baik model ramalan dan sistem amaran awal banjir dengan melihat kepada perkembangan teknologi lebih canggih, cepat dan tepat serta kerjasama dengan organisasi antarabangsa dan serantau.

"Ini adalah untuk memastikan ia dapat disebarkan kepada umum dengan lebih berkesan misalnya amaran melalui sistem siren dan khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata MKN akan menyelaras sumbangan daripada pelbagai pihak seperti badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) agar sumbangan dapat digunakan semasa berlakunya bencana.

Timbalan perdana menteri turut menyarankan mereka yang berminat menjadi sukarelawan agar berdaftar dengan MKN dan sekiranya berlaku bencana, mereka boleh digerakkan sedia memberi bantuan.

Beliau meminta pihak swasta khususnya yang mempunyai premis seperti gedung atau stor yang sesuai dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir pada masa depan bagi mengurangkan kesesakan di pusat pemindahan.

Walaupun setakat ini tiada pihak swasta yang menyediakan premis mereka sebagai pusat pemindahan banjir, beliau berharap pihak berkenaan akan turut membantu kerajaan membantu mangsa banjir.

Muhyiddin berkata peruntukan kecemasan di peringkat pengurusan bencana daerah juga disediakan dan dipertingkatkan untuk menghadapi bencana banjir di luar jangkaan bagi menampung keperluan mendesak di peringkat daerah.

Selain itu, beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan menggembleng pegawai dan anggota agensi kerajaan negeri dan daerah untuk membantu jentera operasi banjir khususnya untuk menguruskan pusat pemindahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain