suria

Sindiket 'Black Money', Polis Tahan Tiga Warga Asing

KUALA LUMPUR: Kegiatan licik tiga warga asing dalam sindiket 'black money' tumpas selepas ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Cheras di sebuah pangsapuri servis di Jalan Ampang, di sini, 26 Disember lepas.

Ketua JSJK Kuala Lumpur ACP Izany Abd Ghani berkata susulan tangkapan itu, polis merampas lapan peti besi dan lima beg yang mengandungi 5,373 keping mata wang palsu US$ 100 (anggaran RM1.7 juta) dan 831 keping RM100, serta 34 ketulan mampat kertas hitam dipercayai AS$100 palsu.

Beliau berkata polis turut merampas bahan kimia iaitu empat bungkus serbuk berwarna putih dan satu berwarna kuning, tujuh botol plastik dan 10 botol kaca mengandungi cecair, dipercayai digunakan untuk mencuci wang palsu.

"Dalam kejadian pada 26 Disember lepas, dua daripada tiga lelaki dipercayai warga China dan seorang Singapura berumur 45 hingga 54 tahun itu telah bergaduh dalam keadaan mabuk di pangsapuri berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati punca mereka bergaduh adalah disebabkan masalah hutang pelaburan mata wang asing dan polis juga menjumpai barang-barang yang disyaki digunakan dalam sindiket berkenaan di premis itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, Khamis.

Ditanya mengenai modus operandi yang digunakan suspek dalam sindiket itu, Izany berkata ia masih dalam siasatan.

Kata Izany, premis itu dipercayai dijadikan sebagai transit untuk menyimpan wang palsu sebelum digunakan untuk penipuan oleh sindiket terbabit.

"Mereka telah menyewa premis itu sejak dua tahun lepas dan mula memasuki negara ini pada tahun 2011 menggunakan visa pelancong.

"Kami tidak menolak kemungkinan mereka juga turut terlibat dalam kes penipuan 'black money' bersama warga Afrika di sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau menambah, suspek ditahan reman sehingga 15 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 489 (C) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun, jika sabit kesalahan

Izany turut menggesa orang ramai yang terperdaya dengan sindiket itu membuat laporan polis bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain