suria

Mydin Mahu Penyenaraian Di Bursa Jika Perolehan Cecah RM4 Bilion

Ameer Ali Mydin.
Ameer Ali Mydin.

PETALING JAYA: Pengendali pasar raya besar, Mydin Mohamed Holdings Bhd merancang untuk berada dalam penyenaraian bursa apabila perolehannya mencapai sekurang-kurangnya RM4 bilion, kata Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin.

“Kami menjana perolehan tahunan sebanyak RM2.6 bilion pada masa ini. Ya, kami boleh disenaraikan di papan utama sekarang tetapi saya masih belum merasakannya (perolehan) cukup besar lagi. Kami mahu berkembang dengan perolehan antara RM4 bilion dan RM5 bilion setahun. Saya fikir ia merupakan perangkaan yang begitu baik,” katanya kepada Starbiz.

Walaupun Ameer tidak menetapkan waktu sebenar bagi rancangan syarikat itu memasuki penyenaraian, beliau bagaimanapun menjangkakan ianya dapat berlaku dalam tempoh antara tiga ke lima tahun lagi.

“Saya fikir dalam tempoh itu, kami dapat untuk mencapai sembilan angka (perolehan). kami mahu berkembang dahulu. Tetapi saya percaya penyenaraian ini adalah satu kemestian untuk mana-mana organasisasi dalam jangka panjang,” katanya.

Ameer bagaimanapun menegaskan bahawa penyenaraian syarikai sepatutnya bukan sekadar tentang “menjana pendapatan”.

“Ia tidak sepatutnya bersandarkan keuntungan semata-mata. Ia mengenai ketelusan dan akauntabiliti,” jelasnya.

Mengenai rancangan pengembangan, Ameer berkata, Mydin akan melaburkan kira-kira RM650 juta untuk mewujudkan sekurang-kurangnya lima pasar raya besar baharu pada 2014.

Lokasi yang dicadangkan untuk pasar raya besar itu ialah Gong Badak (Terengganu), Semenyih (Selangor), Taman Rinting dan Pelangi Indah (Johor) serta Parit Buntar (Perak).

Beliau berkata, Mydin turut akan membuka satu deli premium yang dinamakan sebagai Sam’s Deli di Seremban pada bulan depan.

“Sam’s Deli akan menawarkan sejumlah besar produk makanan dan minuman barat. Ia akan menjadi rangkaian premium di mana kira-kira 60 peratus produk akan diimport," katanya.

Pada masa ini, Mydin mempunyai lebih 200 cawangan di Malaysia termasuk 13 pasar raya besar borong.

Cawangan bagi syarikat kumpulan itu meliputi 18 emporium borong, lima perniagaan francais Mydin Marts, 51 kedai serbaneka My Mydin, tiga gedung Bazaar, lapan gedung My Mart, 11 kompleks dan 123 pasar mini Kedai Rakyat 1Malaysia.

Sementara itu, Ameer mengakui bahawa sektor peruncitan akan merasai kesan pelbagai kenaikan yang diumumkan di bawah program rasionalisasi subsidi kerajaan.

“Barang-barang akan menjadi mahal berikutan kenaikan harga dan pengurangan subsidi. Tetapi saya merasakan rakyat perlu berhenti merungut. Saya tidak fikir terdapat sebarang masalah dengan nilai pasaran untuk barangan ekoran kenaikan itu,” katanya.

Artikel Lain